Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: “Saya menghadap tuanku setiap Selasa”

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali gembira dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan dengan hasrat mengekalkan tiga Exco PAS dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU), akan datang.

Katanya, titah khas berkenaan membuktikan Sultan Sharafuddin memahami denyut nadi rakyat supaya mandat diberikan itu dilaksanakan dengan memberikan fokus kepada pembangunan negeri.

“Saya amat gembira kerana titah khas tuanku ini sekali lagi membuktikan baginda amat memahami denyutan nadi rakyat di bawah yang mahu mandat diberikan itu dilaksanakan semua pimpinan Kerajaan Negeri di semua peringkat dengan penuh bertanggungjawab dan memberikan fokus kepada pembangunan negeri,” katanya.

AZMINKetika ditanya bila beliau menghadap baginda untuk membincangkan kedudukan Exco PAS dalam Kerajaan Selangor, beliau berkata, pertemuan setiap Selasa itu adalah perkara biasa.

“Saya menghadap tuanku setiap minggu, pada Selasa. Majlis menghadap itu bertujuan untuk memaklumkan kepada tuanku berkenaan perkara yang bakal dibincangkan pada Mesyuarat Exco setiap Rabu. Itu memang tradisinya,” katanya.

Dalam kenyataan khas diedarkan pihak istana dan ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani, pagi ini, baginda bertitah, kedudukan Exco sedia ada dikekalkan demi kepentingan rakyat dan memastikan usaha pembangunan Selangor terus dilaksanakan.

“Baginda mengambil kira mandat diberikan rakyat kepada Kerajaan Negeri sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan supaya kemakmuran rakyat Selangor terus tercapai.

“Baginda turut menyeru kepada semua pihak supaya tidak menimbulkan spekulasi negatif berkenaan kestabilan Kerajaan Selangor,” katanya.