Categories
NASIONAL

AMK seru dakwaan isu 1MDB DOJ disangkal secara terbuka

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 JUN: Angkatan Muda Keadilan menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menyangkal dakwaan Jabatan Keadilan (Department of Justice-DOJ) Amerika Syarikat secara terbuka.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan DOJ jelas bagi melindungi keselamatan dan integriti sistem kewangan negara itu daripada segala penyalahgunaan oleh kleptokrat menyimpan kekayaan yang diperoleh secara haram atau pencurian.

Katanya, DOJ juga melakukannya secara konsisten terhadap pesalahlaku 1MDB walaupun berlaku perubahan pentadbiran dengan parti politik serta peguam negara baru.

“Jelas daripada kenyataan ini, tindakan itu untuk melindungi kepentingan AS dan bukan untuk mencampur tangan di dalam perihal negara kita, oleh itu kerajaan perlu buktikan sebaliknya.

“Walau apa pun, jika ada sesiapa yang merasakan mereka tidak sepatutnya didakwa di dalam dokumen DOJ, mereka sepatutnya boleh sahaja campur tangan di dalam proses mahkamah untuk memadamkan nama mereka daripada dokumen mahkamah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, selebriti Hollywood, Leonardo DiCaprio dan Miranda Kerr memulangkan hadiah diberikan Jho Low, iaitu individu yang disebut namanya di dalam saman DOJ bersama Riza Aziz, iaitu anak tiri Perdana Menteri.

Nik Nazmi berkata, selebriti berkenaan melakukan perkara tepat untuk membersihkan nama mereka daripada skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mungkin juga wajar untuk pihak berkuasa kita menuruti langkah ini dan bekerjasama dengan pihak AS tanpa menetapkan syarat.

“Mengapakah Perdana Menteri masih lagi tidak menyaman Wall Street Journal tentang isu 1MDB sehingga ke hari ini?

“Rakyat mahukan jawapan dan kebenaran, pada masa ini kami langsung tidak dapat apa-apa daripada pihak kerajaan,” katanya.

Sehingga kini, skandal 1MDB bukan sahaja disiasat di AS tetapi turut mendapat perhatian pihak berkuasa negara lain seperti Singapura, Luxembourg, Switzerland, Hong Kong dan Australia.

=EZY=