Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baiki prosedur elak silap urus jenazah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mencadangkan Hospital Kajang menyemak dan menambah baik prosedur pengendalian mayat bagi mengelakkan kecuaian terhadap perkara itu.

Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, pihaknya sudah berbincang dengan hospital terbabit untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan terperinci berhubung dakwaan kecuaian dalam pengurusan penyerahan mayat oleh unit forensik mereka.

“Pihak hospital disaran menambah baik prosedur supaya perkara ini tidak lagi berulang.

“MAIS turut menggesa semua pihak supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan memeberikan gambaran tidak tepat,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan MAIS itu merujuk kepada laporan polis dibuat Pusat Jagaan Al-Fikrah yang menyatakan jenazah mualaf, Hassan Abdullah atau Lim Ah San diuruskan menurut cara Islam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang kira-kira jam 11.30 pagi, pada 4 Jun lalu.

Sebelum ini, jenazah mualaf terbabit disempurnakan mengikut upacara buddha selepas secara tidak sengaja diserahkan kepada badan kebajikan menyebabakan jenazahnya dibakar dan hanya tinggal abu sebelum kesilapan itu disedari.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada kekeliruan nama jenazah yang seakan sama dengan satu lagi mayat yang ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kajang.

Namun, abu mayat Hassan tetap dituntut Pusat Jagaan Al-Fikrah yang juga merupakan pusat jagaan pernah dihuni lelaki mualaf berumur 74 tahun itu sebelum dikebumikan secara Islam.