Categories
KENYATAAN MEDIA

CELCOM dituntut bayar ganti rugi pengguna

OLEH: SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN

1. Kegagalan fungsi talian dan internet Celcom antara jam 7 pagi hingga jam 9.30 pagi pada 13 Jun 2017, wajar diambil pertimbangan serius.

Malah di sesetengah lokasi, gangguan berlaku lebih lama hingga menyebabkan para pengguna menanggung kerugian dalam tempoh tersebut.

Lebih menyedihkan, gangguan berlaku ketika waktu puncak dan syarikat berkenaan hanya melampirkan seperenggan permohonan maaf, tanpa sebarang komitmen ganti rugi.

2. Semakan di twitter rasmi Celcom hingga jam 12.40 pagi hari ini, seramai 2,217 orang telah ‘retweet’ dan 127 orang telah ‘reply’ permohonan maaf yang dilampirkan. Sekitar 3,400 individu yang komen di facebook.

Ribuan ‘share’ dan ’emoticon’ pula jelas menggambarkan perasaan tidak puas hati pengguna. Malangnya, jawapan yang diberikan Celcom sekadar melepaskan batuk di tangga. Menggunakan ‘autoreply’ mungkin.

3. Demi memenuhi tanggungjawab sosial, Pemuda AMANAH menuntut agar Celcom membayar ganti rugi dalam bentuk data internet tambahan (minimum) sebanyak 3GB serta talian dan SMS percuma ke semua rangkaian telco selama sehari.

Bagi pengguna postpaid, rebat sebanyak 10% harus diberikan untuk bil bulan ini, selari dengan sikap Celcom sendiri yang cukup berkira sekiranya pengguna lambat menjelaskan bayaran bulanan.

4. Seluruh cadangan ini kami ambil langsung daripada respon di twitter yang menerima jawapan acuh tidak acuh daripada Celcom.

Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi besar, Celcom sewajarnya bersikap lebih responsif. Tanpa berdalih, syarikat harus mengambil tanggungjawab penuh atas kerugian ini. Lebih penting, usah lagi selesa berlindung di balik ‘permohonan maaf’.

“Membina Negara Berintegriti”
#PemudaBekerja

 

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional