Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kutip cukai pelancongan RM21.8 juta pada 2019

SHAH ALAM, 14 OGOS: Selangor mengutip cukai pelancongan berjumlah RM21.8 juta tahun lalu.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata kutipan termasuk perkhidmatan dan kos dikenakan kepada pelancong yang menginap di hotel.

“Cukai ini penting bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelancong dalam usaha menyokong pembangunan industri tersebut di negeri ini,” kata Azrul Shah Mohamad pada sidang media Kejohanan Selangor Golf Classic 2020 di Kota Permai Golf and Country Club di sini semalam.

Kerajaan mengecualikan cukai pelancongan bermula 1 Julai lalu hingga 30 Jun 2021 sebagai langkah mengaktifkan semula industri itu di negara ini.

Agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan pula diberi penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai sehingga hujung tahun ini manakala khidmat penginapan mulai 1 September hingga 30 Jun tahun depan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cukai pelancongan dikecualikan hingga Jun 2021

PUTRAJAYA, 5 JUN: Cukai pelancongan akan dikecualikan sepenuhnya mulai Julai ini sehingga 30 Jun tahun depan sebagai antara langkah mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengakui bahawa ia merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19, beliau berkata pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan turut akan dilanjutkan mulai 1 September ini sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Selain itu, katanya, penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang perlu dibayar oleh perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan bagi tempoh 1 April sehingga 30 September dilanjutkan tiga bulan lagi mulai 1 Oktober hingga 31 Disember.

“Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen, hari ini.

Sementara itu, mengenai industri kreatif, hiburan dan acara pula, Muhyiddin berkata beliau turut mendengar keluhan daripada karyawan, pengarah filem, kru produksi dan pengurus acara.

“Sehubungan itu, beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) dan pihak swasta,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengagihan hasil kutipan cukai pelancongan akan diteruskan

BUKIT MERTAJAM, 15 JUN: Pengagihan hasil cukai pelancongan kepada negeri akan diteruskan setiap tahun apabila 50 peratus akan diberikan balik ke negeri seperti yang dijanjikan kerajaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Lim berkata pengagihan untuk kutipan cukai pelancongan pada 2019 dijangka diberikan kepada setiap negeri pada suku pertama tahun 2020.

“Kita tepati janji, bukan seperti kerajaan dahulu janji tetapi tidak bagi…kutipan cukai pelancongan tahun 2018 telah dibayar awal tahun ini dan pembayaran akan diteruskan setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan negeri yang kedua terbanyak menerima pengagihan cukai pelancongan iaitu sebanyak RM10 juta selepas Sabah yang mendapat RM12 juta.

“Bagi pembayaran cukai pelancongan kepada setiap negeri, kita akan mengikut proses yang sama iaitu kerajaan persekutuan akan membayar balik 50 peratus daripada jumlah cukai yang dikutip dari setiap negeri,” katanya.

Cukai pelancongan merupakan cukai yang dikutip daripada pelancong asing iaitu RM10 untuk satu malam bagi yang tinggal di hotel atau tempat penginapan berdaftar.

Dalam laporan Mac lalu, selain Sabah dan Pulau Pinang, pembayaran 50 peratus hasil cukai pelancongan juga diterima Selangor iaitu sebanyak RM10.3 juta, Johor (RM7.99 juta), Pahang (RM7.86 juta), Melaka (RM5.35 juta), Kedah (RM5.08 juta), Sarawak (RM2.58 juta), Negeri Sembilan (RM2.47 juta), Perak (RM1.25 juta), Terengganu (RM1.03 juta), Kelantan (RM150,000) dan Perlis (RM20,000).

Sementara itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang supaya meneruskan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Walaupun pemerintahan di Pulau Pinang masuk penggal ketiga, kita tidak boleh terlalu leka dengan sokongan yang ada dan semua aduan rakyat harus diambil serius.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bersama-sama ribuan rakyat berbilang kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka DAP Pulau Pinang di sini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Pengusaha hotel mahu cukai pelancongan dimansuhkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 18 MEI: Pengusaha hotel menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memansuhkan cukai pelancongan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan sepenuhnya, bermula 1 Jun ini.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), PK Leong berkata, sebelum ini GST menjejaskan kuasa perbelanjaan orang ramai.

“Jadi disebabkan itu, orang ramai perlu mengurangkan perbelanjaan tidak perlu seperti melancong. Tetapi, cukai pelancongan lebih memudaratkan pengusaha hotel kerana ia adalah kos tambahan untuk pelancong asing,” katanya dipetik FMT.

Sebelum ini, Kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan cukai pelancongan yang berkuat kuasa secara rasmi, pada 1 September lalu.

Cukai itu dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik setiap malam bagi pelancong asing yang menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.

Leong berkata, disebabkan itu pelancong asing memilih negara lain berbanding ke Malaysia khasnya mereka yang melancong dengan bajet terhad.

“Bayangkan, jika kadar untuk hotel bajet ialah RM100 satu malam dan cukai pelancongan RM10 iaitu tambahan 10 peratus, setiap malam.

“Kajian MyBHA mendapati purata penginapan pelancong asing di hotel bajet merosot daripada 60 peratus sebelum pelaksanaan cukai pelancongan kepada 30 peratus,” katanya.

Categories
SELANGOR

29 hotel 4 dan 5 bintang terjejas jika Cukai Pelancongan dilaksana

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 29 hotel bertaraf empat dan lima bintang di Selangor dijangka terjejas dengan pelaksanaan Cukai Pelancongan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna , Elizabeth Wong berkata, ia membabitkan sejumlah 7,121 bilik ditawarkan di kesemua hotel berkenaan.

Katanya, 29 hotel itu juga dijangka menjana pendapatan RM99,694 sehari dan RM36.4 juta setahun, dengan anggaran 70 peratus dihuni.

“Pelaksanaan cukai ini juga dijangka memberi kesan kepada harga bilik hotel dalam pasaran.

“Hotel kebiasaannya sudah menjelaskan cukai tertentu, ditambah lagi dengan cukai terbaru, kos semestinya akan bertambah,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee berhubung kesan terhadap hotel di Selangor.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri menggesa agar satu sistem dan hala tuju lengkap disediakan bagi pelaksanaan cukai berkenaan.

“Buat masa ini, Sarawak pun menggesa pelaksanaannya ditangguhkan sebab menyedari ia memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Kita percaya, sesuatu yang dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dibuat dalam masa singkat selalunya tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan tambahan ADN Kinrara, Ng Sze Han berhubung keupayaan Kerajaan Negeri untuk menangguhkan hasrat Kerajaan Persekutuan itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tak setuju pelaksanaan Cukai Pelancongan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JULAI: Selangor sama sekali tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Pelancongan dicadang Kerajaan Persekutuan kerana bakal membawa lebih banyak impak negatif terhadap ekonomi serta sektor pelancongan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong berkata, pelaksanaan cukai itu memberi kesan kepada terhadap jualan bilik hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Katanya ia juga menyebabkan kenaikan kos lawatan melancong, seterusnya membantutkan perkembangan pelancongan di Selangor.

“Kerajaan Persekutuan dianggarkan bakal mengutip RM654.6 juta setahun hasil Cukai Pelancongan tetapi ke mana ia akan dibelanjakan masih kabur.

“Sehingga kini, kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih RM41 bilion setahun juga masih gagal dipastikan ke mana ia dibelanjakan,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berhubung pendirian Kerajaan Negeri berhubung cukai berkenaan.

Elizabeth berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya memberikan jaminan bahawa hasil dikutip disalur terus bagi membina atau menambah baik infrastruktur pelancongan.

“Kerajaan Negeri syorkan semua hasil dikutip Jabatan Kastam daripada hotel di Selangor disalurkan semula kepada Kerajaan Negeri untuk membantu secara langsung sektor perhotelan dan pelancongan negeri ini,” katanya.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Cukai pelancongan: Sabah dan Sarawak berhak tidak setuju

OLEH HASANUDDIN MOHD YUNUS

Respon balas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan terhadap tindakan sesetengah kepimpinan negeri adalah sangat tidak profesional, seharusnya beliau perlu hadapi dengan lebih berdiplomasi. Penggunaan bahasa untuk merendah-rendahkan orang lain perlu dihentikan, bukan anda sehaja yang tahu berkenaan hal pelancongan.

Malah perkara ini menunjukkan kedangkalan Menteri-Menteri BN dalam kabinet.

Tindakan memperlekehkan negeri Sarawak dan Sabah langsung tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang menteri. Ini kerana, Sabah dan Sarawak sangat berharap kepada industri pelancongan dalam memperkasakan pertumbuhan ekonomi, maka tindakan untuk tidak bersetuju adalah tepat.

Selain daripada itu, Sabah dan Sarawak masih lagi dibelenggu dengan sistem cukai kabotaj, walaupun telah dicanang untuk dihapuskan. Cukai ini masih dilaksana dan menurut kerajaan, cukai ini hanya akan dihapuskan untuk sementara. Cukuplah rakyat Sarawak dan Sabah terbeban dengan kos sara hidup kini.

Disamping itu, saya mengucapkan tahniah kepada ‘hero’ yang tidak didendang khususnya 8 ahli parlimen Pakatan Harapan dan Warisan yang bersungguh-sungguh berbahas dan membantah sehingga pukul 5 pagi akan RUU Cukai Pelancongan sewaktu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Saya percaya perlaksanaan cukai ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pendapatan negara sehingga RM654 juta setiap tahun. Ia wajar dikongsikan kepada Sabah dan Sarawak.

Malah rakyat sentiasa bertanya cukai-cukai lain, mencecah berbillion ringgit yang banyak dikenakan kepada mereka, ke manakah wang itu telah diagihkan?

Kebocoran tabung negara telah menatijahkan kerajaan sentiasa dahaga untuk mengutip cukai-cukai baharu.

Oleh, itu tindakan kerajaan dan menteri perlu melihat kepada orang ramai yakni rakyat dan menyemak semula kebocoran kewangan negara sebelum mendera rakyat. Jangan rasa diri itu dah bagus, sehingga tergamak untuk merendah-rendahkan orang lain.

*Hasanuddin Mohd Yunus adalah Naib Presiden AMANAH

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan tergesa laksana cukai pelancongan seperti GST

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Industri pelancongan tidak sepatutnya menambah karenah cukai yang boleh menjejaskan negara serta mewujudkan kekecohan ekoran ketidakpuasan hati pelbagai pihak.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, sebaliknya industri itu perlu menampilkan ciri memudahkan pelbagai pihak kerana pelancongan antara penyumbang kepada negara.

Katanya, kerajaan juga wajar menimbang semula pelaksanaan itu jika ia hanya menjejaskan banyak pihak.

“Cukai itu tidak perlu dilaksanakan tergesa-gesa seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kalau boleh industri pelancongan yang membawa banyak kebaikan jangan banyak olah sangat walaupun ia membawa kebaikan tetapi menjejaskan banyak perkara seperti tindakan Sarawak keluar daripada Pelancongan Malaysia,” katanya.

barjoyaiSementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai menggesa Kementerian Pelancongan mengkaji dahulu setiap keputusan dibuat di peringkat nasional dengan mengambil kira pandangan di peringkat pentadbiran di setiap negeri supaya tidak mengundang kekecohan.

“Cukai itu tidak sepatutnya diteruskan kerana sudah pasti pelanggan yang akan menjadi mangsa untuk menanggung kenaikan kadar,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan Cukai Pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan satu malam akan tetap diteruskan mulai 1 Julai.

Tindakan itu dikritik Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dengan menggesa kerajaan menangguhkan pelaksaan cukai terbabit.