Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dari 225 kepada 10 aduan

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 21 JUN: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) berjaya menstabilkan operasi kutipan sisa pepejal di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan menerima respon positif penduduk setempat.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, respon itu dapat dilihat menerusi penurunan ketara aduan dalam tempoh tiga bulan pertama pengambilalihan terbabit.

Katanya, 225 aduan dicatatkan, pada Mac lalu dan menurun kepada 17 pada April serta 10, pada Mei.

“KDEBWM sangat efisien dan bertindak pantas menyelesaikan aduan diterima tanpa mengira waktu,” katanya ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Antara KDEBWM dan MPAJ, di sini.

Pada masa sama, Abd Hamid mengakui terdapat ‘hiccups’ atau masalah kecil di zon kutipan, pada peringkat awal proses pengambilalihan oleh kontraktor baru.

Bagaimanapun, katanya, tempoh ‘cooling off period’ yang diberikan sebelum ini berjaya ditangani, sekali gus menyelesaikan semua isu berbangkit.

“Kontraktor baru yang dilantik memerlukan sedikit masa untuk mahir dengan kawasan mereka, namun tempoh bertenang selama tiga bulan itu berjaya ditangani KDEBWM dengan menyelesaikan setiap aduan,” katanya.

KDEBWM memulakan perkhidmatannya di MPAJ, pada 1 Mac lalu dan menjadi pihak berkuasa tempatan kedua dipilih bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Sebelum ini, KDEBWM menjadikan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai projek perintis dalam mengendalikan perkhidmatan sisa pepejal domestik.