Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan tergesa laksana cukai pelancongan seperti GST

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Industri pelancongan tidak sepatutnya menambah karenah cukai yang boleh menjejaskan negara serta mewujudkan kekecohan ekoran ketidakpuasan hati pelbagai pihak.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, sebaliknya industri itu perlu menampilkan ciri memudahkan pelbagai pihak kerana pelancongan antara penyumbang kepada negara.

Katanya, kerajaan juga wajar menimbang semula pelaksanaan itu jika ia hanya menjejaskan banyak pihak.

“Cukai itu tidak perlu dilaksanakan tergesa-gesa seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kalau boleh industri pelancongan yang membawa banyak kebaikan jangan banyak olah sangat walaupun ia membawa kebaikan tetapi menjejaskan banyak perkara seperti tindakan Sarawak keluar daripada Pelancongan Malaysia,” katanya.

barjoyaiSementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai menggesa Kementerian Pelancongan mengkaji dahulu setiap keputusan dibuat di peringkat nasional dengan mengambil kira pandangan di peringkat pentadbiran di setiap negeri supaya tidak mengundang kekecohan.

“Cukai itu tidak sepatutnya diteruskan kerana sudah pasti pelanggan yang akan menjadi mangsa untuk menanggung kenaikan kadar,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan Cukai Pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan satu malam akan tetap diteruskan mulai 1 Julai.

Tindakan itu dikritik Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dengan menggesa kerajaan menangguhkan pelaksaan cukai terbabit.