Categories
NASIONAL

Kastam batalkan GSt lebih 60 makanan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) membatalkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk lebih 60 bahan makanan yang dijangkakan berkuatkuasa, pada 1 Julai ini.

Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, perkara itu merujuk Perintah Cukai GST (Pembekalan Kadar Sifar) (pindaan (No.2) 2017 yang diwartakan, pada 6 Jun tahun ini.

Katanya, implikasi pewartaan perintah itu akan menyebabkan lebih dari 60 bahan makanan seperti ikan belut, todak, jagung, sayuran sejuk beku dan beberapa jenis buah-buahan import serta marjerin tertakluk kepada cukai terbabit.

“JDTM merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklum balas dan membuat keputusan supaya (ia) dibatalkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan media berkenaan cadangan pelaksanaan GST ke atas lebih 60 bahan makanan, mulai bulan depan.

GSTAntara barangan baru yang akan dikenakan GST termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri.

Sementara itu, sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis pula dikeluarkan daripada senarai GST berkadar sifar.

Jika rancangan itu dilaksanakan, barangan lain termasuk bihun, kuetiau, mi laksa dan minyak kelapa juga akan dikenakan cukai enam peratus.

Subromaniam berkata, JKDM memohon kerjasama semua pihak semua mengambil maklum berkenaan pembatalan itu.

Senarai lengkap barangan dan perkhidmatan berkadar sifar, sila lawat gst.customs.gov.my atau www.federalgazette.agc.gov.my.