Categories
NASIONAL

Kawal emosi dan sikap ketika memandu

SHAH ALAM, 14 JUN: Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati 82 peratus kemalangan maut sepanjang 2016 berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

Mengulas perkara itu, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, kebanyakan kemalangan bukan disebabkan keadaan jalan raya, sebaliknya membabitkan sikap dan emosi pemandu serta keadaan kenderaan yang dipandu.

Katanya, kesan mengantuk, letih dan usia adalah antara faktor yang boleh mengurangkan fokus pemanduan serta kurang peka terhadap keadaan sekeliling.

“Waktu memandu yang lazimnya kritikal adalah waktu malam iaitu antara jam 1 hingga jam 4 pagi, memandangkan pada waktu berkenaan tubuh badan manusia berada pada tahap yang inginkan rehat.

“Selain itu, waktu memandu yang juga disenaraikan sebagai waktu kritikal ialah pada waktu siang antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang, yang biasanya boleh melalaikan si pemandu,” katanya kepada BERNAMA.

prof_idrusMengulas lanjut, Mohd Idrus berkata, pihak berkuasa perlu meletakkan papan tanda amaran secukupnya, lampu jalan di kawasan selekoh dan tanda amaran bercahaya, pada waktu malam.

Katanya, selain operasi berskala, penggunaan ‘transverse bar’ untuk tujuan ‘traffic-calming’ atau meredakan kelajuan kenderaan juga akan dapat membantu mengurangkan keberangkalian berlaku kemalangan di lokasi itu.

“Saya mengingatkan pengguna bahawa jalan raya bukan lokasi menunjukkan kepakaran memandu atau menguji kenderaan tetapi sebagai alat mendekatkan kita kepada keluarga, sahabat dan taulan serta bukan untuk kita meratapi kehilangan orang tersayang,” katanya.