Categories
SELANGOR

Keistimewaan PR1MA dan PPA1M batal jika Putrajaya terus ‘bermusuh’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JUN: Keistimewaan diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) akan dibatalkan jika Kerajaan Persekutuan terus mengambil sikap berkonfrontasi dengan Kerajaan Selangor dalam isu perumahan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, PR1MA dan PPA1M memiliki keistimewaan sama seperti Rumah Selangorku iaitu peningkatan kepadatan sehingga 120 unit kediaman seekar, sedangkan kepadatan pembangunan biasa sekitar 30 hingga 70 unit kediaman seekar.

Katanya, cadangan pembatalan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Exco dan permohonan peningkatan kepadatan daripada PR1MA juga PPA1M akan dibekukan sehingga satu keputusan baru dibuat.

“Kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu perumahan tetapi mereka mengambil sikap berkonfrontasi dalam beberapa isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.

“Kerajaan Negeri mahu sentimen politik diketepikan dalam isu membabitkan kebajikan rakyat seperti perumahan tetapi Kerajaan Persekutuan terutama menteri terlibat dilihat lebih suka bermain politik,” katanya.

ISKANDAR SAMADIskandar berkata, langkah itu bukan bertujuan menghalang PR1MA atau PPA1M daripada melaksanakan projek di Selangor, sebaliknya berpunca daripada tindakan Kerajaan Persekutuan yang lebih berminat menyerang berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, Kerajaan Negeri mengalu-alukan projek pembangunan perumahan Kerajaan Persekutuan di Selangor, asalkan mematuhi syarat digariskan dalam Rancangan Tempatan (RT) pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“Untuk PPR itu, Kerajaan Persekutuan bertegas ingin mengambil alih pembangunan terbabit dan enggan melayan tuntutan kos Kerajaan Negeri membaik pulih serta menyelenggara yang sudah dibelanjakan,” katanya.