Categories
SELANGOR

‘Kejar’ Lailatulqadar di minggu akhir Ramadan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 JUN: Masyarakat Islam seluruh negeri disaran memanfaatkan minggu terakhir Ramadan dengan amal ibadat dan aktiviti berfaedah.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, masyarakat Islam pastinya berharapkan Lailatulqadar sebelum Ramadan berakhir hujung minggu ini.

“Alhamdulillah kita terus dapat menikmati Ramadan dan sedang melalui hari-hari akhir Ramadan, pastinya dengan harapan merebut lailatulqadar.

“Adapun Lailatulqadar itu sering diberitahu bahawa ianya lebih baik dari 1,000 bulan dan merupakan anugerah Allah kepada Ummat Muhamad S.A.W,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, masyarakat Islam negara ini melihat anak bulan bagi ketetapan Hari Raya Puasa dibuat petang Sabtu, 24 Jun bersamaan 29 Ramadan 1438 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Anak bulan Syawal boleh dilihat di 29 lokasi seluruh negara antaranya di Pontian Kecil (Johor), Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Melaka) dan Bukit Melawati Kuala Selangor (Selangor).

=EZY=