Categories
NASIONAL

Kenapa lantik bekas menteri selesai krisis FGV?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 JUN: Lantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas menyelesaikan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menimbulkan pelbagai persoalan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat individu lain yang lebih layak menggantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau turut mencadangkan jawatankuasa khas membabitkan individu tidak berkepentingan ditubuhkan supaya tidak melindungi pihak tertentu.

“Kita semua tahu siapa Idris Jala dan sepatutnya pihak dilantik adalah mereka yang tidak berkepentingan sama ada dengan FGV atau lain-lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM, semalam.

Kelmarin, Kerajaan Persekutuan melantik Idris sebagai pihak berkecuali untuk meneliti dakwaan salah laku membabitkan syarikat itu dan meneliti fakta kes serta mencadangkan penyelesaian.

MUHYIDDIN BERSATUTindakan itu dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad mendedahkan wujud aliran pelaburan ‘tidak masuk akal’ yang mengenepikan pandangan jawatankuasa esekutif.

Beliau mendakwa diketepikan dalam membuat keputusan pelaburan Felda Cambridge Nanosystems Ltd yang kini sedang mencari RM550 juta untuk mengembangkan operasi selepas kerugian RM117 juta dalam tempoh empat tahun.

Bagaimanapun, Zakaria kini digantung tugas oleh ahli lembaga pengarah FGV, sementara Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad mempertahankan dirinya tidak terlibat dengan skandal itu.