Categories
NASIONAL

Tun M persoal mana keuntungan FGV

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mempersoal di manakah duit FGV Holdings Bhd yang didakwa mencatat keuntungan besar.

Beliau yang merujuk dirinya sebagai Ahli Parlimen Langkawi bertanya perkara itu, ketika mencelah sewaktu Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sedang membahaskan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda)’ di Dewan Rakyat.

“Sebagai wakil rakyat Langkawi, saya kagum dengan cerita dongeng yang disampaikan. Yang saya hairan, kenapa dia (Ahmad) tidak beritahu kepada ‘bossku’ lama dia, supaya hari ini kita tidak ada masalah dan tak perlu ada Kertas Putih. Semua bersih belaka.

“Tetapi penyangak ini meninggalkan bekas mereka dan kitalah yang perlu bersihkan, dan tuan-tuan dan puan-puan begitu banyak untung FGV ini, berbilion-bilion, (boleh) tolong tunjuk di mana duit itu ada?” katanya.

Terdahulu, Ahmad yang melahirkan rasa teruja dengan kehadiran perdana menteri dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mendengar perbahasan berkenaan berkata, FGV mencatat keuntungan dari 2012 hingga 2017.

Ahmad mendakwa setelah Pakatan Harapan memerintah, FGV pada 2018 mencatat kerugian RM1.04 bilion.

“Tetapi apabila Yang Berhormat (Langkawi) ambil alih kerajaan, eh menteri ekonomi lah (merujuk kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), saya tak nak salahkan (Langkawi).

“Saya kalau jumpa Yang Berhormat Langkawi, saya salam cium tangan, arwah ayah saya, saya cium tangan, bekas-bekas perdana menteri, Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) saya tak cium, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir saya cium tangan,” katanya yang mengundang gelak ketawa anggota Dewan Rakyat.

Beliau kemudian meneruskan perbahasannya termasuk mencadangkan supaya diwujudkan kawasan industri di tanah rancangan Felda bagi memajukan dan memberi peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felda sebelum Dr Mahathir bangun bagi mencelah perbahasan itu.

“Hari ini dalam sejarah, saya bagi laluan sepenuhnya,” katanya yang sebelum itu tidak membenarkan pencelahan daripada dua anggota Parlimen iaitu Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil(PH-Lembah Pantai) dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat). -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin: Jaminan Kerajaan untuk FELDA struktur semula pinjaman

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan bersetuju memberikan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membolehkan entiti terbabit menstrukturkan semula pinjamannya dengan institusi kewangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jaminan itu sebahagian daripada usaha kerajaan membentuk sistem kewangan baharu dan lestari bagi FELDA, selari pelan transformasi serta hala tujunya, selain mengelak daripada menanggung beban hutang yang tinggi.

“Kegagalan menstruktur semula pinjaman FELDA akan mendedahkan entiti itu kepada pembayaran pinjaman dan kadar faedah RM2.5 bilion untuk 2019,” katanya ketika membentangkan Kertas Putih Felda, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, bagi tahun lalu sahaja, FELDA terpaksa melunaskan bayaran pinjaman dan kadar faedah RM1.4 bilion kepada institusi kewangan.

Beliau berkata, FELDA juga akan melaksanakan rasionalisasi aset bagi menambah baik kedudukan kewangan semasanya.

“FELDA kini dalam proses mengenal pasti aset tidak strategik yang berpotensi untuk dicairkan bagi menjana aliran tunai pada nilai terbaik,” katanya.

Katanya, antara punca masalah kewangan FELDA ialah kekangan aliran tunai ekoran pendapatan lebih rendah berbanding kos operasi selepas menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda Global Ventures Bhd (FGV) bagi menyenaraikan FGV di Papan Utama Bursa Malaysia.

Beliau berkata, sebelum penyenaraian FGV, Felda menjana keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.1 bilion setahun dalam tempoh 2007 hingga 2011 melalui pengurusan ladang komersial miliknya yang berkeluasan lebih kurang 400,000 hektar.

“Selepas penyenaraian FGV, khususnya pada 2013, prestasi kewangan FELDA mulai merosot. FELDA melaporkan kerugian secara berterusan sehingga mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM4.9 bilion pada 2017,” katanya.

Secara purata, FELDA hanya menerima RM400 juta setahun daripada FGV berbanding keperluan sekurang-kurangnya RM800 juta setahun untuk mengurus ladang serta menjamin kebajikan peneroka.

Mohamed Azmin berkata, selain penstrukturan dan pengukuhan kewangan, pelan transformasi dan hala tuju, FELDA turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan tadbir urus serta operasi berasaskan ketelusan dan akauntabiliti bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan peneroka serta mengukuhkan kedudukannya.

Antara langkah yang sudah dan sedang diambil adalah melantik kepimpinan baharu FELDA terdiri daripada golongan profesional, berwibawa dan berintegriti serta menyusun semula struktur korporat juga pengurusan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

Katanya, FELDA juga akan memperkenalkan sistem semak dan imbang bagi mencegah dan menghalang penyalahgunaan kuasa dan salah laku rasuah.

Selain itu, katanya, FELDA akan memperkenalkan model baharu pengurusan tanah peneroka melalui sewaan tanah untuk satu tempoh jangka panjang yang munasabah bagi menyelesaikan isu demografi peneroka dan ketiadaan ekonomi bidangan.

“Pengenalan model baharu ini akan membolehkan tanah peneroka digabungkan dan diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang boleh mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya. -BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Pengerusi ANAK: Malapetaka bermula bila FGV disenaraikan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 12 APR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menyifatkan penyenaraian Felda Global Venture (FGV) di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 adalah detik permulaan malapetaka menimpa peneroka dan FELDA sendiri

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pemegang saham FGV yang terdiri daripada peneroka dan kakitangan FELDA juga menanggung kerugian apabila saham FGV semalam jatuh kepada RM1.90 berbanding RM4.45 ketika dilancarkan.

“Tak cukup dengan pajakan tanah 99 tahun, FGV juga membeli kepentingan dalam syarikat besar FELDA iaitu Felda Holdings dengan 51 peratus kepentingan dalam Felda Holdings dimiliki Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan dibayar RM2.2 bilion.

“Maka, apabila syarikat Felda Holdings ini dipindah milik kepada FGV, maka FELDA kehilangan anak syarikat yang selama ini memberi keuntungan kepadanya,” katanya pada Taklimat Khas Media, Felda Di Perah! di Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara anak syarikat milik FELDA termasuk Felda Oil Mill yang memiliki 77 kilang, di seluruh negara.

Katanya, keadaan itu menyebabkan FELDA kehilangan sejumlah besar pendapatan yang akhirnya memberi kesan serius kepada operasinya sendiri.

“Akhirnya, pendapatan FELDA hilang lebih kurang 70 peratus dan di sini saya ingin beritahu sejarah penting malapetaka terhadap kami. Apabila FELDA hilang pendapatan, maka ia tidak mempunyai simpanan besar untuk memastikan khasnya masyarakat FELDA mampu teruskan kelangsungan mereka.

“FGV membayar pajakan sebanyak 15 peratus keuntungan operasi lebih kurang RM508 juta setahun daripada RM1.5 bilion menjadikan defisit begitu besar menyebabkan FELDA tak boleh beroperasi dengan baik bagi memastikan kepentingan masyarakat FELDA dijaga,” katanya.

Categories
NASIONAL

FGV: SPRM jangan lengah siasatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa tidak melengahkan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) seperti dilaporkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Arshad.

Pengerusi Biro Felda dan Perladangan KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pergolakan dalaman FGV yang turut membabitkan Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah peluang terbaik membersihkan FGV dan mengembalikan hak peneroka felda.

“Saya amat terkesan dengan kenyataan Zakaria yang meminta SPRM menyiasat perkara ini kerana ia menujukkan sesuatu yang serius. SPRM jangan berlengah.

“Saya harap SPRM jangan berdalih kerana saya percaya badan itu mempunyai bukti dan sebagai Pengerusi Biro Felda yang sebelumnya memegang Pasukan Khas Felda Selangor, saya minta supaya kedua tokoh ini memberi penjelasan secara terbuka kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

shamsul-iskandar-mohd-akinKatanya, penjelasan itu perlu dibuat khususnya kepada peneroka felda yang mempunyai kesan signifikan dengan perkembangan FGV, terutama apabila saham FGV jatuh merudum.

Shamsul Iskandar yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, Isa juga perlu meletak jawatan apabila berlaku salah urus tadbir korporat syarikat itu.

“Ini padahnya apabila lantik orang yang pernah terpalit dengan skandal politik wang.

“Isa Samad sepatutnya berhenti lama sebelum ini tetapi diberikan peluang sekali lagi dan apabila terdapat salah urus tadbir korporat, maka sewajarnya pengerusi FGV meletak jawatan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kenapa lantik bekas menteri selesai krisis FGV?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 JUN: Lantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas menyelesaikan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menimbulkan pelbagai persoalan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat individu lain yang lebih layak menggantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau turut mencadangkan jawatankuasa khas membabitkan individu tidak berkepentingan ditubuhkan supaya tidak melindungi pihak tertentu.

“Kita semua tahu siapa Idris Jala dan sepatutnya pihak dilantik adalah mereka yang tidak berkepentingan sama ada dengan FGV atau lain-lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM, semalam.

Kelmarin, Kerajaan Persekutuan melantik Idris sebagai pihak berkecuali untuk meneliti dakwaan salah laku membabitkan syarikat itu dan meneliti fakta kes serta mencadangkan penyelesaian.

MUHYIDDIN BERSATUTindakan itu dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad mendedahkan wujud aliran pelaburan ‘tidak masuk akal’ yang mengenepikan pandangan jawatankuasa esekutif.

Beliau mendakwa diketepikan dalam membuat keputusan pelaburan Felda Cambridge Nanosystems Ltd yang kini sedang mencari RM550 juta untuk mengembangkan operasi selepas kerugian RM117 juta dalam tempoh empat tahun.

Bagaimanapun, Zakaria kini digantung tugas oleh ahli lembaga pengarah FGV, sementara Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad mempertahankan dirinya tidak terlibat dengan skandal itu.

Categories
NASIONAL

Pecat Azeez, pulihkan imej TH dari campur tangan politik – Rafizi

Oleh : Ermizi Muhamad

SHAH ALAM, 16 FEB : Kepercayaan rakyat terhadap tabung haji hanya boleh dipulihkan sekiranya badan itu menyingkirkan Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Rahim, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, badan itu perlulah bebas daripada campur tangan politik agar kerugian melibatkan pelaburannya di dalam saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) tidak berulang.

tabung-haji“Langkah awal memberi jaminan kepada rakyat Tabung Haji dibebaskan dari campur tangan politik ialah dengan menukar Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang lebih layak dan lebih ahlinya di dalam hal ehwal pelaburan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika ini, Tabung Haji terpaksa menanggung kerugian atas kertas sebanyak RM933 juta di dalam saham FGV yang masih mengekalkan sahamnya walaupun pendapatannya mencatatkan penurunan.

Perkara tersebut kata Rafizi, mengesahkan wujudnya campur tangan politik lebih-lebih lagi Pengerusi Tabung Haji juga seorang pemimpin politik.

“Penglibatan ahli politik yang bukan ahli di dalam kepimpinan Tabung Haji iaitu Datuk Seri Azeez Rahim yang melanggar prinsip tata kelola sewajarnya dipamerkan Tabung Haji,” tambah Ahli Parlimen Pandan itu.

Bahkan, pengasas FGV, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mustahil terlibat dalam campur tangan tersebut.

Sebelum ini,Tabung Haji dilaporkan mencatatkan kedudukan negatif pada 2015 bagi tahun kedua berturut-turut.

Perkara tersebut selaras dengan peringatan Bank Negara Malaysia apabila defisit rizab Tabung Haji bagi tahun kewangan tahun lalu diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.195 bilion.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

TH tanggung rugi terkumpul RM933 juta disebabkan FGV

OLEH : RAFIZI RAMLI

Saya meneliti kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak di blog beliau bertarikh 12 Februari 2016 mengenai isu-isu yang dibangkitkan berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji.

Sementara saya memuji langkah beliau menjawab sendiri isu-isu yang saya timbulkan dan tidak diserahkan bulat-bulat kepada aktivis maya (“cybertroopers”) Umno di bawah seliaan Dato’ Ahmad Maslan, kenyataan Perdana Menteri itu langsung tidak menjawab perkara-perkara pokok yang diajukan.

Ada beberapa perkara pokok yang telah saya ajukan seperti berikut:

1. Kedudukan rizab Tabung Haji yang terus kekal negatif bagi tahun kewangan 2015 iaitu dua tahun berturut-turut.

2. Teguran-teguran oleh Bank Negara Malaysia dalam surat gabenornya bertarikh 23 Disember 2015 yang menjadi semakin dizahirkan apabila kedudukan rizab Tabung Haji terus menjadi negatif pada nilai yang lebih besar bagi tahun kewangan 2015.

tabung-haji3. Penglibatan ahli politik yang bukan ahli di dalam kepimpinan Tabung Haji iaitu Datuk Seri Azeez Rahim yang melanggar prinsip tata kelola yang sewajarnya dipamerkan Tabung Haji.

Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak menjawab langsung ketiga-tiga isu pokok yang saya ajukan ini.

Sebaliknya beliau merendahkan martabat diri beliau sendiri apabila mengemukakan hujah yang tidak berbeza dari hujah-hujah aktivis maya Umno; iaitu kononnya isu-isu yang ditimbulkan adalah satu serangan bermotifkan politik.

Malah, beliau cuba pula mengheret Kerajaan Arab Saudi bila mana beliau tidak mampu menyangkal unjuran-unjuran kewangan yang saya telah kemukakan kepada rakyat.

Asas kritikan-kritikan saya ialah campur tangan politik di dalam pengurusan Tabung Haji sehingga keputusan pelaburan Tabung Haji dilihat bermatlamatkan politik dan bukannya pulangan terbaik kepada pendeposit.

Contoh yang paling baik ialah penglibatan Tabung Haji sebagai pemegang saham ketiga terbesar (pegangan 7.78% setakat 31 Disember 2015) di dalam Felda Global Venture Berhad (FGV) selepas Felda dan Koperasi Permodalan Felda.

FGV adalah ilham Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri yang telah digunakan sebagai salah satu bahan kempen dalam PRU13 yang lalu untuk memenangi undi peneroka Felda, sedangkan majoriti penganalisa pasaran berpendapat tindakan menyenaraikan FGV bukanlah satu tindakan yang bijak.

Kesilapan Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menyenaraikan FGV itu kini terbukti apabila prestasi saham FGV terus merudum seperti berikut:

Oleh kerana FGV ini satu inisiatif penting pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, institusi pelaburan milik kerajaan yang dimodalkan dengan wang rakyat terpaksa turut serta.

Tabung Haji muncul sebagai pemegang saham bukan Felda yang terbesar pada pegangan 7.78%.

Saya telah menyemak setiap urusniaga jual beli saham FGV oleh Tabung Haji atau pengurus dananya Maybank Asset Management Sdn Bhd (yang memegang saham FGV bagi pihak Tabung Haji pada jumlah yang sangat kecil).

Saya juga telah mengira jumlah yang dibayar untuk membeli saham, jumlah yang diterima apabila saham dijual dan kerugian terkumpul seperti yang diperincikan di dalam lampiran.
Kesimpulan dari analisa pergerakan saham FGV dan untung/(rugi) yang dialami oleh Tabung Haji adalah seperti berikut:

1. Kerugian terkumpul yang ditanggung oleh Tabung Haji ialah RM933 juta

2. Sepanjang Tabung Haji terlibat di dalam FGV, keuntungan hasil dari penjualan saham FGV hanyalah RM7.6 juta iaitu terlalu sedikit berbanding jumlah terkumpul yang dibayar oleh Tabung Haji untuk membeli saham-saham FGV iaitu RM1.3 bilion

3. Kali terakhir Tabung Haji menjual saham FGV ialah pada 12 Julai 2012 iaitu pada awal penyenaraian sebanyak 750,000 saham.

Semua penjualan saham FGV yang direkodkan selepas itu dibuat oleh pengurus dana Tabung Haji sama ada Maybank, AmInvest atau CIMB yang melibatkan jumlah saham yang sangat kecil dan tidak menjejaskan pegangan keseluruhan Tabung Haji di dalam FGV.

Ini bermakna walaupun harga saham FGV mula menunjukkan penurunan mendadak, Tabung Haji tidak mengambil apa-apa langkah melindungi dana pendeposit sebanyak RM1.3 bilion yang telah dilaburkan di dalam FGV.

Ini berbeza dengan institusi pelaburan kerajaan yang lain seperti KWSP dan KWAP yang dilihat cuba untuk mengurangkan kerugian mereka dan mengambil langkah mengurangkan pegangan di antara 2012 hingga 2015.

Tindakan Tabung Haji yang langsung tidak mengambil apa-apa tindakan melindungi dana pendeposit dalam keadaan sudah jelas pelaburan di dalam FGV merugikan bukanlah satu sifat profesional yang biasa ditunjukkan oleh sebuah institusi pelaburan bertaraf antarabangsa seperti Tabung Haji.

Tindakan terus memegang saham FGV sehingga menyebabkan kerugian terkumpul RM933 juta sudah tentu berkait rapat dengan kedudukan FGV sebagai inisiatif utama pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak walaupun dalam keadaan biasa, sebuah institusi pelaburan tidak akan berkelakuan seperti Tabung Haji.

Sebab itu rakyat ada hak untuk mendesak supaya semua campur tangan politik di dalam Tabung Haji perlu dihentikan segera untuk mengelakkan berulangnya kerugian besar seperti pelaburan di dalam FGV yang dilihat bersifat politik.

Langkah awal untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa Tabung Haji akan dibebaskan dari campur tangan politik ialah dengan menukar Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang yang lebih layak dan lebih ahlinya di dalam hal ehwal pelaburan Islam.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan