Categories
GLOBAL

Lagi mayat ditemui dalam carian pesawat tentera Myanmar

YANGON, 8 JUN: Lebih banyak mayat penumpang pesawat tentera Myanmar ditemui di Laut Andaman selepas dilaporkan hilang semalam, kata tentera.

Menurut AP News, pesawat turboprop Y-8 buatan China itu hilang petang Rabu, kira-kira setengah jam selepas meninggalkan Myeik yang juga dikenali sebagai Mergui, Yangon.

Ketika kejadian, dilaporkan cuaca berada dalam keadaan kurang baik.

Sehingga kini, 10 mayat sudah ditemui oleh kapal tentera laut dan pencarian turut dibantu nelayan tempatan.

Terdahulu, media melaporkan pesawat tentera Myanmar dengan lebih 100 orang, termasuk anggota tentera dan ahli keluarga dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari bandar pesisiran pantai Myeik ke Yangon.

Pesawat itu terputus hubungan 29 minit setelah berlepas dan berada pada ketinggian 18,000 kaki di atas Laut Andaman, iaitu kira-kira 70 kilometer dari barat bandar Dawei.

Menurut kenyataan pihak tentera di laman Facebook, tiga mayat, termasuk dua dewasa dan seorang kanak-kanak ditemui 35km (22 batu) dari selatan pesisiran bandar Launglon oleh kapal laut.

Pesawat itu berlepas dati Myeik pada jam 1.06 petang waktu tempatan dalam jadual penerbangan mingguan.