Categories
SUKANKINI

Pemain Portugal, Korea Selatan mantapkan PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JUN: PKNS FC membawa masuk dua pemain import baru bagi memperkukuh pasukan dan memperbaiki kedudukan dalam baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia 2017.

Setiausaha PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin berkata, bekas pemain skuad simpanan Chelsea, Fabio Ferreira dari Portugal menjadi pemain pertama dibawa masuk diikuti pemain tengah dari Korea Selatan, Park Kwang Il.

Park pernah bermain di Liga J2 Jepun dan Indian Super League turut menjaringkan gol ketika diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang MISC MIFA, baru-baru ini.

Kemasukan dua pemain import baru itu menyaksikan Lucas Sebastian Espindola dan Matias Nicolas Hadwa masing-masing terpaksa meninggalkan Red Ants lebih awal sebelum saingan Piala Malaysia, pada Julai ini.

Pasukan itu turut mengumumkan perkhabaran gembira apabila kembali mendapatkan khidmat pemain tengah, Muhammad Khairu Azrin selepas Melaka United bersetuju melepaskan beliau bagi mengharungi baki saingan liga musim ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi laman Facebook selain mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi yang membenarkan beliau kembali ke PKNS FC.