Categories
NASIONAL

Memalukan! Najib lebih teruk daripada Trump

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JUN: Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke tahap lebih rendah daripada presiden bukan pilihan Amerika Syarikat, Donald Trump, berdasarkan laporan media antarabangsa.

Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu melengkapkan Najib sebagai pemimpin yang gagal dalam menjaga maruah negara dan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

“Bagi saya, perkara ini sangat memalukan rakyat kerana perdana menteri kita lebih dikenali di peringkat antarabangsa melalui skandal kewangan teruk.

1MDB02“Seperti tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB yang menamakan pemimpin negara sebagai Malaysia Official 1 (MO1) dan dirujuk sebanyak 36 kali.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan sendiri ketika ditemubual BBC mengesahkan Malaysia Official 1 adalah Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, majalah Time yang berpengkalan di New York menamakan Najib dan Trump sebagai antara pemimpin dunia yang memiliki ‘rating’ terburuk.

Antara lain, Time mengaitkan Najib dengan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya dan didukung Peguam Negara yang mengesahkannya sebagai derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Saifuddin berkata, beliau yakin rakyat Malaysia semakin matang dalam menilai perkembangan terbaru membabitkan Najib yang juga Presiden Umno itu.

“Dengan terdedahnya skandal 1MDB, pasti akan wujud gelombang menolak Najib dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Rakyat Malaysia tentunya sudah bersedia untuk melakukan perubahan demi kesejahteraan mereka dan negara,” katanya.