Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN bantah RDPT suku pertama 2017

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyuarakan bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Pertama 2017 yang jelas sarat penipuan dan muslihat apabila terdapat 28,416 pengundi baru.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, pertama kali dalam sejarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai tuntutan daftar pemilik dari 25 hingga 31 Mei lalu dengan alasan terdapat beberapa nama tercicir daripada pameran rasmi RDPT.

“Namun, kita dapati terdapat 28,416 pengundi tentera dimasukkan ke dalam senarai tuntutan selepas tempoh bantahan RDPT suku tahun pertama.

“Manakala 8,268 pengundi baru yang mendaftar sendiri dibuang SPR bagi 2016 dan 88.1 peratus adalah daripada rakyat Selangor.

“SPR memberi alasan penafian nama mereka ditolak kerana kononnya tidak hadir ketika nama mereka dibantah,” katanya.

Nurul Izzah berkata, pendedahan iru amat mengejutkan memandangkan ia berlaku ketika Pilihan raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal tiba tidak lama lagi.

“Saya kecewa dengan sikap SPR yang bersifat berat sebelah dan tidak amanah kerana apabila ditanya, mereka mengakui ia adalah arahan daripada Putrajaya,” katanya.