Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN bantah RDPT suku pertama 2017

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyuarakan bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Pertama 2017 yang jelas sarat penipuan dan muslihat apabila terdapat 28,416 pengundi baru.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, pertama kali dalam sejarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai tuntutan daftar pemilik dari 25 hingga 31 Mei lalu dengan alasan terdapat beberapa nama tercicir daripada pameran rasmi RDPT.

“Namun, kita dapati terdapat 28,416 pengundi tentera dimasukkan ke dalam senarai tuntutan selepas tempoh bantahan RDPT suku tahun pertama.

“Manakala 8,268 pengundi baru yang mendaftar sendiri dibuang SPR bagi 2016 dan 88.1 peratus adalah daripada rakyat Selangor.

“SPR memberi alasan penafian nama mereka ditolak kerana kononnya tidak hadir ketika nama mereka dibantah,” katanya.

Nurul Izzah berkata, pendedahan iru amat mengejutkan memandangkan ia berlaku ketika Pilihan raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal tiba tidak lama lagi.

“Saya kecewa dengan sikap SPR yang bersifat berat sebelah dan tidak amanah kerana apabila ditanya, mereka mengakui ia adalah arahan daripada Putrajaya,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Dakwa Wujud Satu Lagi Kejanggalan Daftar Pemilih

KUALA LUMPUR, 7 NOV : PKR mendakwa wujudnya satu lagi bentuk kejanggalan manipulasi daftar pemilih dengan tidak melalui Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) yang dipamerkan di setiap suku.

Perkara ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, bentuk kejanggalan di dalam daftar pemilih boleh disifatkan sebagai kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta tidak menolak kemungkinan dimanipulasi dengan sengaja oleh SPR.

“RDPT merupakan ‘audit trail’ di dalam daftar pemilih. Dan SPR wajib boleh ‘tally’ jumlah pemilih di dalam daftar pemilih setiap suku yang disahkan melalui cara ini.

“Sebaliknya didapati SPR gagal berbuat demikian. SPR sewenang-wenangnya masukkan nama dan keluarkan nama, pindahkan nama pemilih tanpa di pamer terlebih dahulu,” katanya yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Sebagai contoh, hasil audit daftar pemilih di antara daftar pemilik induk Suku ke-4 2011 dan daftar pemilih induk Suku Pertama 2012 seperti yang dibekalkan oleh SPR kepada PAC bagi Parlimen Kuantan (P083) mendapati, sebanyak 155 nama pemilih dimasukkan ke dalam daftar pemilih tanpa melalui RDPT.

“Kita mendapati nama yang sudah dipamerkan sebagai pemotongan sebelum ini dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih P083 sedangkan tiada bantahan dibuat ke atas nama tersebut.

“Terdapat 40,000 nama di seluruh negara. Sejumlah 15 undi pos (polis dan tentera) dimasukkan tanpa dipamerkan.

“Terdapat juga nama dipindahkan masuk tanpa dipamerkan terlebih dahulu. Mereka ini merupakan pemilih di kawasan lain sebelum ini,” katanya.

Menurut Fuziah lagi, sebanyak 433 nama pemilih hilang dari daftar pemilih begitu sahaja tanpa dipamerkan.

“Semakan kami menunjukkan jumlah yang besar terus hilang (tiada dalam rekod). Kalau meninggal sekalipun tidak mungkin sampai 400 lebih nama.

“Selain itu sejumlah besar dipindahkan ke kawasan Parlimen lain tanpa dipamerkan (hampir 100 nama) dan jumlah pemilih yang dipamerkan keluar terdiri dari pemilih awam dan pos,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menuntut penjelasan SPR mengenai perkara berkenaan.

Tegasnya keadaan ini membuktikan SPR tidak membersihkan daftar pemilih dan kemungkinan besar ianya dilakukan dengan sengaja untuk membantu Umno-BN.