Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pentadbiran berhemah dorong rakyat hijrah ke Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara hari ini menjadi antara faktor utama penghijrahan warga Kuala Lumpur ke Selangor, pada masa kini.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, perkara itu jelas menunjukkan majoriti isi rumah miskin bandar terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan beban hutang yang terpaksa ditanggung.

Katanya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilakukan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak memberi kesan berbanding kesempitan ekonomi yang dihadapi.

“Umno-BN sepatutnya bertindak menyediakan bantuan kepada rakyat, bukan hanya bergantung kepada pemberian BR1M sahaja.

“Berbeza dengan PAKATAN di Selangor, Kerajaan Negeri berupaya mentadbir dan mengurus ekonomi dengan berkesan berteraskan prinsip kewangan berhemah, tatakelola baik serta ‘value for money’ menyebabkan penduduk negeri lain berminat berhijrah ke sini,” katanya.

RodziahPada masa sama, Rodziah berkata, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus terhadap rakyat terus menyumbang kepada kenaikan harga barang di pasaran.

Katanya, GST boleh dihapuskan jika kerajaan sedia ada membanteras rasuah, mengurangkan ketirisan dan faedah hutang serta memperkenalkan cukai keuntungan.

“Tatakelola baik dan kecekapan pengurusan ekonomi serta masa hadapan rakyat terjamin adalah bergantung kepada kerajaan yang amanah juga sentiasa memberi keadilan untuk rakyatnya,” katanya.