Categories
PBT SELANGOR

MBSA sedia 142 tong RORO percuma sempena Aidilfitri

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyediakan 142 perkhidmatan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bagi perkhidmatan sampah pukal.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menyediakan tong RORO bersaiz tiga tan yang akan diletakkan di sekitar bandar raya Shah Alam antaranya dari Seksyen 2 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20.

“Tong RORO ini bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal antaranya perabot lama dan barangan elektrik seperti almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya.

“Perkhidmatan secara percuma ini akan bermula dari 9 hingga 20 Jun dengan meletakkan tong RORO di lokasi sesuai secara berperingkat untuk kemudahan penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, perkhidmatan itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong-royong secara persendirian di kediaman masing-masing.

Selain itu, katanya, ia juga memberi didikan kepada warga Shah Alam berkenaan pengurusan sampah pukal dengan cara betul.

“MBSA berharap penduduk dapat memberi kerjasama dengan meletakkan sampah pukal di dalam tong RORO disediakan bagi memudahkan kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar,” katanya.