Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penyelenggaraan bukan faktor banjir di Hulu Langat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUN: Kejadian banjir di Hulu Langat, baru-baru ini bukan disebabkan faktor penyelenggaraan, sebaliknya berpunca daripada hujan lebat berpanjangan.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, hujan lebat sehingga 135 mililiter yang berlarutan dalam tempoh dua jam berlaku di luar jangka dan meninggalkan kesan luar biasa.

Katanya, kerja penyelenggaraan saliran di kawasan terbabit juga setakat ini berjalan baik.

“Kita belum ada rancangan lagi sehingga terima laporan kerana ia bukan disebabkan penyelenggaraan, sekatan atau keadaan tertentu yang boleh dibaik pulih.

“Semua pihak perlu memastikan penyelenggaraan dalam keadaan baik kerana sekarang hujan lebat boleh turun pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira musim,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy Abdul Talib (1)Pada masa sama, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan memastikan pihak bertanggungjawab dengan projek seperti Langat 2 dan EKVE mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelakkan banjir.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha mengelakkan kejadian banjir dengan menambah peruntukan setiap tahun.

“Setiap tahun Kerajaan Negeri menambah peruntukan hingga mencecah 100 peratus untuk pembangunan projek tebatan banjir yang berjalan pesat, di samping adanya pasukan khas memantau projek yang sedang berjalan,” katanya.