Categories
SASTERA

Sebagai pemain kata-kata

OLEH Syafie Mahyani

JIKA ingin menjadi seorang penulis, pertama-tanya perlu membaca. Kedua, membaca. Ketiga, membaca. Keempat, membaca dan kelima barulah menulis. Begitulah pesan Datuk A Samad Said atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad. Ternyata nasihat Sasterawan Negara itu selari dengan ayat pertama diturunkan-Nya kepada Nabi Muhammad s.aw. iaitu surah Al-Alaq bermaksud baca.

Jadi, untuk menjadi seorang penulis itu tidak semudah yang disangka. Harus mempersiapkan segala macam ilmu bantu sebelum menyimpan hasrat untuk belajar menjahit kata-kata. Hal ini disentuh ZF Zamir, peneraju rumah penerbitan Thukul Cetak pada perhimpunan 1,000 penulis di PWTC 2017. Katanya, penulis yang tidak membaca adalah orang yang bermasalah.

Justeru, apakah dengan tersiarnya sesebuah karya dalam media massa, seseorang itu sudah boleh mengakui dirinya penulis? Sasterawan Negara Datuk Usman Awang ada berkata,  seseorang hanya layak digelar penulis apabila berani menyatakan sikap. Kalau tidak berani, tidak payah jadi penulis, begitu katanya.

Pandangan itu senada dengan penulis hebat Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang menyebut, “Menulis adalah sebuah keberanian.” Maknanya, seseorang penulis itu tidak harus menulis jika masih ada sifat tunduk dan dicucuk hidung oleh golongan berkepentingan. Seorang penulis harus berani menyatakan pendirian. Tidak gentar walau diugut atau disisihkan oleh manusia lain apabila kebenaran diluahkan lewat tulisannya. Seorang penulis itu harus ada prinsip diri yang teguh.

Kata Usman Awang lagi, “Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga.” Tajam yang bagaimana? Berbalik kepada asas menjadi seorang penulis. Sudah tentu ketajaman itu bukan dimaksudkan secara literal sebaliknya sebagai perlambangan. Ketajaman pena, jika tidak diasah dengan ilmu bacaan secukupnya, hanya menjadi bahan bacaan tanpa makna bererti.

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara-Southest Asian Writers Award bagi negara Malaysia pada 2000, Dr Lim Swee Tin pula berkata, “Menjadi seorang pengarang mudah. Menjadi seorang penyajak sukar. Menjadi seorang sasterawan jauh lebih susah.”

Ternyata menjadi seorang penulis itu bukan calang-calang manusia.  Harus ada sifat dan jiwa serta peka dengan sekelilingnya. Harus ada sifat merendah diri. Bak kata pepatah, ikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk. Penulis bukanlah kerjaya bagi manusia biasa-biasa. Menjadi penulis, seseorang harus ada ketahanan mental yang kuat. Tidak mudah mengalah dengan setiap cabaran.

Pada zaman awal penulisan, penulis pasti melalui pengalaman karya yang dihantar ditolak berkali-kali oleh rumah penerbitan. Itu asam garam seorang penulis. Penolakan, jika dipandang dari sudut positif, membentuk daya tahan penulis. Nisah Haji Haron, penerima Anugerah Buku Negara 2017 melalui buku ‘Bagaimana Saya Menulis’ berkongsi kisah cerpennya, Pusaka Cendana.

Cerpen itu awalnya dihantar untuk sebuah sayembara. Namun setelah diumumkan senarai pemenang, namanya tidak ada kemudian dihantar ke Mingguan Malaysia. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu?

Karya itu menang hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006. Lebih manis lagi, cerpen berkenaan dipilih sebagai judul antologi cerpen remaja pada tahun itu. Sudah tentu, hal ini berbalik kepada diri seseorang penulis. Jika penulis mudah mengalah, pasti karya itu terbiar sahaja. Hanya penulis berjiwa besar, akan menganggap setiap karya ada peluang kedua, untuk dihantar ke media lain.

Pak Samad dalam ‘Dari Salina Ke Langit Petang, Proses Mencipta Novel’ mengatakan, “Sebanyak manapun dia menulis — jika akar pengetahuan dan perbandingannya tidak ada —  dia tetap akan menggelonsor dan akhirnya tercicir. Penulis lain yang lebih muda, lebih membaca dan menelaah, akan mengatasinya.”

Membaca adalah kunci paling utama untuk mempersiapkan diri sebagai penulis. Membaca dan terus membaca. Seorang penulis yang banyak membaca itu umpama sebaldi air yang penuh. Semakin banyak menulis, seperti sebaldi air; isinya lama kelamaan akan berkurangan. Untuk memenuhkannya, penulis harus mengisi dengan kembali membaca.

Umumnya, semua orang boleh menulis tetapi bukan semua yang menulis itu, layak dipanggil penulis. Membaca adalah perkara utama yang akan memisahkan antara seorang penulis dengan penulis lain. Melalui karya, seseorang penulis boleh dinilai melalui tahap pembacaan, pemerhatian terhadap isu di sekelilingnya, ketajaman fikirannya dan penelitian dalam menyusun bait kata-kata.

Penulis yang memiliki kekuatan dalam penulisannya tidak dinilai dari segi umurnya. Pak Samad pada usia 23 tahun menulis novel pertama berjudul Gerhana yang kemudian ditukar judul menjadi Salina. Novel itu dianggap oleh sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.

Walaupun hanya memenangi hadiah penghargaan dalam Peraduan Penulisan Novel 1958 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tema novel itu dianggap asing dalam kesusasteraan Melayu ketika itu. Namun kekuatan karya itu tahan diuji dan berupaya melangkaui zaman.

Menjadi seorang penulis secara tidak langsung menyerahkan bukan saja karyanya, malah keperibadiannya yang terheret sama dalam sesebuah karya. Pete Townshed, penulis lirik dan ahli kumpulan rock, The Who mengatakan, “Jika tidak mahu sesiapa tahu mengenai diri anda, jangan menulis langsung.”

Hermann Karl Hesse, seorang penulis dari Jerman menambah, “Kalau anda memasuki dunia sastera semata-mata mahu popular, anda telah tersalah pilih bidang; anda seharusnya memasuki dunia pop!” Seorang penulis bukanlah seorang artis. Penulis tidak mempunyai peminat. Penulis hanya ada pembaca.

Seorang penulis bertanggungjawab dengan setiap tulisannya. Surah Al-Baqarah ayat 282 bermaksud, “Dan hendaklah seorang penulis antara kamu menuliskannya dengan benar.” Menulis dengan niat memberi pendidikan, maklumat dan menghiburkan pembaca. Janganlah menulis untuk mendapat nama atau gelaran.

Bak kata A Samad Said, “Gelaran tidak membawa makna apa-apa, yang penting adalah sumbangan.”

Memetik kata penyair terkenal tanah air, T Alias Taib pula:  “Pengarang besar mengarang dengan tujuan, yang kecil mengarang memenuhi impian.”