Categories
NASIONAL

Puluhan ribu dipindah, 40,000 alamat gagal dikesan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberi penjelasan terhadap isu melibatkan perpindahan pengundi secara besar-besaran seperti yang dakwaan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul mendakwa, di Melaka sahaja terdapat 40,000 nama pengundi baru dengan alamatnya tidak dapat dikesan.

“Kita lihat pengundi luar kawasan masuk Bukit Katil menggunakan satu alamat sama atau alamat tidak dapat dikesan. Di Melaka sahaja ada 40,000 alamat yang gagal dikesan.

“Undi pos pula, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangga Batu, ada dua kem.

“Sehari sebelum tarikh tutup pameran rang daftar pengundi tambahan atau pengundi baru pada 22 Mei, kita saksikan masuk 3,000 lagi pengundi baru yang kita tak tahu daripada kem mana,” kata Iskandar ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

shamsul-iskandar-mohd-akinJelasnya, beliau percaya langkah ini diambil ekoran rang daftar pengundi tambahan yang sedang dicabar di mahkamah hampir tidak sempat digunakan pada PRU-14 nanti apabila kes bantahan itu masih berjalan di mahkamah.

“Adakah ini satu rekayasa atau satu perancangan yang teliti untuk sekali lagi memastikan parti pemerintah terus berkuasa dan apabila ada bantahan rakyat, akan dibatalkan atau apa?

“Pengerusi SPR sepatutnya lebih maklum syarat dan undang-undang yang perlu dipatuhi,” katanya lagi.

Katanya, kepincangan ini menyebabkan pilihan raya itu tidak lagi bebas, adil dan tidak ada nilai satu orang satu undi seperti dituntut perlembagaan.