Categories
SELANGOR

Qari Selangor juara Tilawah Al-Quran Braile Kebangsaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 JUN: Qari dari Selangor, Mohamad Syafiizwan Mohd Suhaini dinobatkan juara Pertandingan Tilawah Al-Quran Braile Peringkat Kebangsaan 2017 kali keempat, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan anak kelahiran Kapar, Klang itu membawa pulang wang tunai RM1,750, trofi kemenangan, pakej penginapan Hotel Acapella, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Mohamad Syafiizwan, 18, mengalami cacat penglihatan sejak lahir menewaskan qari dari Kelantan, Mohd Syukri Ismail yang membawa pulang wang kemenangan RM1,500, trofi, pakej penginapan di Hotel Acapella, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Sementara seorang lagi qari dari Kelantan, Abdul Majid Yussof menerima wang tunai RM1,250 juga pakej penginapan di Hotel Acapella berserta pakej penginapan Hotel Acapella, hadiah iringan, sijil penyertaan dan trofi apabila memenangi tempat ketiga.

BRAILLE (1)Pertandingan yang disertai 10 peserta dari seluruh negeri itu dianjurkan bersama Pengarah Urusan KL Braille Resources, Datuk Mah Hassan Omar dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Pada masa sama, Mohamad Syafiizwan berkata, kekurangan diri bukan penghalang untuk dia mendekati kalam Allah iaitu Al-Quran sebagai pegangan hidup dan amalan pembacaan seharian.

“Saya tidak menyangka akan beroleh kemenangan ini. Walaupun di awal sesi berlaku sedikit gangguan teknikal apabila pembesar suara saya tidak berfungsi, namun saya tetap teruskan juga dan fokus hingga tamat pembacaan.

“Kemenangan ini menjadi titik tolak dalam diri saya untuk terus mendekati Al-Quran walaupun tidak mampu melihat seperti manusia normal lain,” katanya.

Mula mempelajari teknik bacaan Al-Quran melalui kaedah Braile sejak berumur lapan tahun, minat anak bongsu dari lima beradik itu terhadap amalan tadarus didorong ayahnya, Mohd Suhaini Misban.

BRAILLE (4)Selain itu, katanya, pembelajaran dan hasil didikan guru di sekolah khas di Johor Bahru turut membantu dirinya meningkatkan kemahiran dan teknik bacaan kitab suci berkenaan.

Sementara itu, Mohd Suhaini Misban, 55, berkata ibu bapa tidak seharusnya berasa rendah diri memiliki anak istimewa, sebaliknya perlu lebih terbuka dengan mencari peluang terbaik buat anak berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Sebelum ini, sejak kecil lagi saya memang perbanyakkan lagu nasyid dan bacaan ayat Al-Quran kepadanya selepas dimaklumkan anak saya tidak normal seperti kanak-kanak lain.

“Namun, saya cukup berbangga dengannya dan berkat itu jugalah menjadikan anak ini terlalu istimewa buat saya dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Penasihat PPAS, Mastura Muhamad hadir merasmikan pertandingan itu.