Categories
PENDAPAT RENCANA

Braille: Titik-titik yang menyinari kehidupan OKU penglihatan

Oleh Muhammad Faiz Baharin & Aimy Mohamed Yusoff

KUALA LUMPUR, 4 JAN: S. Umashangari mula belajar “membaca” ketika usia 7 tahun, dan lantas jatuh cinta dengan perkataan serta penulisan.

Namun, pada usia 8 tahun, beliau kehabisan bahan bacaan.

Ini kerana beliau dilahirkan cacat penglihatan dan bahan bacaan yang diterbitkan dalam tulisan Braille amat terhad sekali.

Umashangari, 34, belajar mengenali kombinasi titik Braille yang membentuk simbol dan huruf ketika memulakan Darjah 1 di Sekolah Rendah Pendidikan Khas St. Nicholas Home di Pulau Pinang.

“Menjelang Darjah 2, saya sudah menguasai tulisan Braille tetapi sukar untuk mendapatkan bahan bacaan. Ia sangat mengecewakan kerana saya tidak dapat menikmati pelbagai karya fiksyen seperti rakan-rakan yang lain.

“Ketika itulah saya berjanji kepada diri sendiri akan menterjemahkan buku ke dalam tulisan Braille apabila dewasa nanti supaya tidak ada orang lain yang merasa hampa dan ketinggalan seperti saya,” ujar Umashangari kepada Bernama.

Beliau percaya memberikan akses bahan bacaan yang lebih baik kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan adalah elemen penting dalam pemerkasaan dan kejayaan mereka.

“Saya percaya dengan menguasai dan memperbanyakkan bahan bacaan Braille akan membantu komuniti kami keluar dari kepompong persepsi yang kononnya orang buta hanya mampu menjual tisu di jalanan dan tidak boleh membaca apatah lagi berjaya,” jelas Umashangari.

Hari ini, wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya ini sudah menterjemah lebih 10 buah buku untuk komuniti OKU penglihatan.

Antaranya buku teks Sains Pertanian, Asas Sains Komputer, Pendidikan Seni Visual, Bahasa Melayu, Pendidikan Moral serta Sains.

Braille Dipandang Sepi

Bagaimanapun, semangat yang dilontarkan Umashangari bagaikan tidak bersahut.

Statistik menunjukkan hanya kira-kira 30 peratus daripada sejumlah 51,540 golongan OKU penglihatan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh membaca tulisan Braille.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), George Thomas berkata kebanyakan golongan OKU penglihatan yang tidak mahir membaca dan tidak mengenali tulisan Braille adalah mereka yang hilang penglihatan ketika sudah dewasa akibat penyakit atau kemalangan.

“Golongan ini bergantung kepada penggunaan aplikasi serta teknologi sepenuhnya, tidak seperti individu yang mengalami kecacatan penglihatan sejak lahir yang lazimnya dihantar mempelajari tulisan Braille di sekolah pendidikan khas,” katanya.

Menurut George lagi, tahun 2020 menyaksikan seramai 2,562 pelajar OKU penglihatan mempelajari tulisan Braille melibatkan 38 kanak-kanak prasekolah, 1,147 murid sekolah rendah dan 1,377 pelajar sekolah menengah.

Namun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia merencatkan proses pembelajaran kerana keterbatasan fizikal tidak membolehkan sesi pembelajaran diadakan secara dalam talian.

Kekangan Penghasilan Buku Terjemahan Braille

Mengulas lanjut mengenai tulisan Braille, George berkata meskipun Malaysia dilihat mendahului negara Asean dalam aspek pendidikan tulisan Braille, namun komuniti ini tidak terlepas daripada dihantui isu hakcipta dan kos penghasilan bahan bacaan Braille.

Antara peralatan-peralatan yang digunakan dalam pembikinan buku dalam format tulisan braille di Kompleks Bangunan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Foto: BERNAMA

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menterjemah sebarang bahan untuk dijadikan bacaan Braille dan tidak semua pihak bersetuju karya mereka diterjemahkan malah banyak pula kerenah birokrasi terpaksa dilalui.

“Penghasilan bahan bacaan Braille lebih rumit. Penterjemah perlu menyalin semula semua perkataan dan gambar rajah dari sumber asal secara manual, jadi bayangkan berapa lama tempoh diperlukan untuk menterjemah sebuah buku jika ketebalannya 30 hingga 40 muka surat,” jelas George.

Katanya lagi, kos penghasilan buku Braille juga lebih tinggi kerana memerlukan mesin cetak khas, menggunakan helaian kertas lebih tebal 120gsm (gram setiap meter persegi) berbanding buku biasa (60-80gsm).

Malah, jumlah helaian muka surat akan menjadi lebih banyak kerana faktor saiz tulisan Braille yang besar dan serta jarak lebih luas antara baris perkataan.

Memartabatkan Tulisan Braille

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia, Silatul Rahim Dahman pula berpendapat, penggunaan tulisan Braille seharusnya diletakkan sebagai salah satu medium komunikasi penting bagi komuniti OKU penglihatan.

“Braille terbukti membantu kejayaan baik dari aspek sosio-ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan juga politik. Kita tidak mahu ia pupus ditelan arus teknologi,” katanya.

Jelasnya lagi, dari aspek isu semasa pula pihaknya melihat terdapat kelompongan yang gagal diisi pihak berwajib serta agensi berkaitan dalam menyalurkan maklumat kepada komuniti OKU penglihatan terutama melibatkan pandemik Covid-19.

Tidak ada langsung penggunaan tulisan Braille di dalam pengedaran bahan maklumat berkaitan Covid-19 sehingga memaksa golongan OKU penglihatan bergantung kepada orang sekeliling untuk membacakan berita dan informasi berkaitan pandemik itu kepada mereka, jelas beliau.

“Kita ini seolah-olah dianggap kebal pula dari Covid-19. Hal ini cukup membimbangkan malah sehingga hari ini saya fikir SOP (prosedur operasi standard) bagi orang buta pun tiada, walhal kami juga berisiko dijangkiti apatah lagi bergantung deria bau dan sentuhan untuk mengesan sesuatu rintangan di sepanjang laluan,” katanya.

Wajibkan Pendaftaran Golongan OKU

Silatul Rahim turut menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap waris kepada golongan warga OKU yang acuh tidak acuh mengenai proses mendaftarkan jagaan mereka kepada JKM.

Beliau menggesa kerajaan menyemak semula Akta Orang Kurang Upaya 2008 sekaligus mewajibkan pendaftaran anak-anak kurang upaya bagi tujuan menambah baik rekod dan statistik kerajaan agar lebih tepat sekaligus memudahkan urusan saluran bantuan dan faedah kepada komuniti terbabit.

“Saya lihat tiga faktor utama menyumbang kepada perkara ini ialah isu peribadi, faktor geografi yang menyukarkan mereka melakukan proses pendaftaran serta dasar kerajaan tidak mewajibkan pendaftaran ini,” ujarnya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Qari Selangor juara Tilawah Al-Quran Braile Kebangsaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 JUN: Qari dari Selangor, Mohamad Syafiizwan Mohd Suhaini dinobatkan juara Pertandingan Tilawah Al-Quran Braile Peringkat Kebangsaan 2017 kali keempat, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan anak kelahiran Kapar, Klang itu membawa pulang wang tunai RM1,750, trofi kemenangan, pakej penginapan Hotel Acapella, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Mohamad Syafiizwan, 18, mengalami cacat penglihatan sejak lahir menewaskan qari dari Kelantan, Mohd Syukri Ismail yang membawa pulang wang kemenangan RM1,500, trofi, pakej penginapan di Hotel Acapella, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Sementara seorang lagi qari dari Kelantan, Abdul Majid Yussof menerima wang tunai RM1,250 juga pakej penginapan di Hotel Acapella berserta pakej penginapan Hotel Acapella, hadiah iringan, sijil penyertaan dan trofi apabila memenangi tempat ketiga.

BRAILLE (1)Pertandingan yang disertai 10 peserta dari seluruh negeri itu dianjurkan bersama Pengarah Urusan KL Braille Resources, Datuk Mah Hassan Omar dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Pada masa sama, Mohamad Syafiizwan berkata, kekurangan diri bukan penghalang untuk dia mendekati kalam Allah iaitu Al-Quran sebagai pegangan hidup dan amalan pembacaan seharian.

“Saya tidak menyangka akan beroleh kemenangan ini. Walaupun di awal sesi berlaku sedikit gangguan teknikal apabila pembesar suara saya tidak berfungsi, namun saya tetap teruskan juga dan fokus hingga tamat pembacaan.

“Kemenangan ini menjadi titik tolak dalam diri saya untuk terus mendekati Al-Quran walaupun tidak mampu melihat seperti manusia normal lain,” katanya.

Mula mempelajari teknik bacaan Al-Quran melalui kaedah Braile sejak berumur lapan tahun, minat anak bongsu dari lima beradik itu terhadap amalan tadarus didorong ayahnya, Mohd Suhaini Misban.

BRAILLE (4)Selain itu, katanya, pembelajaran dan hasil didikan guru di sekolah khas di Johor Bahru turut membantu dirinya meningkatkan kemahiran dan teknik bacaan kitab suci berkenaan.

Sementara itu, Mohd Suhaini Misban, 55, berkata ibu bapa tidak seharusnya berasa rendah diri memiliki anak istimewa, sebaliknya perlu lebih terbuka dengan mencari peluang terbaik buat anak berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Sebelum ini, sejak kecil lagi saya memang perbanyakkan lagu nasyid dan bacaan ayat Al-Quran kepadanya selepas dimaklumkan anak saya tidak normal seperti kanak-kanak lain.

“Namun, saya cukup berbangga dengannya dan berkat itu jugalah menjadikan anak ini terlalu istimewa buat saya dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Penasihat PPAS, Mastura Muhamad hadir merasmikan pertandingan itu.