Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Qiamullail dan Sahur Perdana 2017 semarak lailatul qadar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Sekurang-kurangnya 6,000 dijangka menghadiri Qiamullail dan Sahur Perdana 2017 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Solat Utama, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 18 Jun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Mohd Basori Umar berkata, program itu diharap memberi syiar dan impak kepada masyarakat Islam untuk bersungguh-sungguh beribadah di 10 malam terakhir bagi mencari lailatul qadar.

“Dianggarkan 6,000 akan menghadiri Majlis Qiamullaill Perdana ini dan pihak masjid akan menyediakan 2,000 makan bersahur manakala Kerajaan Negeri menaja seramai 4,000 orang untuk makan bersahur pada kali ini.

“Ia juga sebagai tautan ukhuwah, dimana kehadiran masyarakat Islam bagi mengerjakan ibadah di masjid akan mengikat tali persaudaraan. Pada 2016 dianggarkan 5,000 hadir ke majlis ini,” katanya.

Program dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu dijadual bermula jam 3.00 pagi dengan dibimbing Imam Abdul Karim Omar.

Sejurus kemudian, program diteruskan dengan forum pentas Ramadan dengan tema ‘Ramadan/; Kukuhkan Aqidah, Sebarkan Ukhuwah’ yang menampilkan dua panel undangan, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Aqil Hayy sementara Ustaz Hariri bakal bertindak selaku moderator.