Categories
EKONOMI NASIONAL

Saham Asia dibuka rendah

TOKYO, 23 JUN: Saham Asia dibuka rendah, pada dagangan hari ini tetapi kekal berada dalam aliran untuk kenaikan mingguan.

Sementara itu, harga minyak mentah juga kembali pulih daripada paras terendah dalam tempoh 10 bulan yang dicatatkan minggu ini.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun dibuka rendah dalam dagangan awal dan naik 0.4 peratus untuk minggu ini.

Indeks saham Jepun, Nikkei susut sedikit tetapi masih dalam aliran untuk kenaikan 0.8 peratus minggu ini dan bakal mencatat paras tertinggi, sejak Ogos 2015.

Indeks dolar yang mengukur prestasi mata wang berkenaan berbanding enam mata wang asing utama yang lain susut 0.1 peratus kepada 97.546 tetapi naik 0.4 peratus untuk minggu ini.

Euro juga didagangkan sedikit rendah, pada AS$1.1148 dan susut 0.4 peratus bagi minggu ini.

Nilai dolar adalah stabil berbanding yen iaitu pada 111.28, naik 0.4 peratus bagi minggu ini.

Ketua Tukaran Asing di Daiwa Securities, Tokyo, Mitsuo Imaizumi, berkata menghampiri penutup Jun, ramai peniaga yang menjual dolar dan ia mudah bagi yen untuk mengukuh pada minggu depan.

“Kami juga perlu memantau perdebatan mengenai penjagaan kesihatan di Washington kerana ketidaktentuan politik boleh mempengaruhi dolar,” katanya.

*Sumber: Reuters dan BH Online