Categories
NASIONAL

Tiada lesen mercun di bazar Ramadan – DBKL

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengeluarkan lesen atau permit kepada penjaja dan peniaga untuk menjual mercun di bazar Ramadan sekitar ibu kota.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, penjaja atau peniaga yang didapati menjual mercun secara haram di bazar Ramadan akan didakwa di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai (WPKL) 1989.

“Sehingga kini, 16 tindakan sita terhadap penjaja mercun tanpa lesen sudah dilakukan dengan 813 kotak mercun pelbagai jenama dirampas menerusi operasi harian, pada 27 Mei hingga 18 Jun atas 82 penjaja bazar Ramadan sekitar ibu negara,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, DBKL turut mengadakan kawalan dan pemantauan ke atas 6,103 tapak perniagaan merangkumi 11 kawasan Parlimen menerusi operasi harian dengan kerjasama beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Imigresen.

Katanya, 360 notis kesalahan am turut dikeluarkan di bazar Ramadan membabitkan kebersihan dan halangan, manakala 245 kes membabitkan pembatalan lesen dan tangkapan warga asing dibuat.