Categories
SELANGOR

Singkap makna sebenar hari kemenangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Pengalaman menempuh Ramadan selama sebulan menjadi landasan kepada hari kemenangan dan penyatuan masyarakat Islam sejagat.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Kebudayaan, Amirudin Shari berkata, kemenangan itu perlu disusuli dengan iltizam tinggi bagi menyingkap makna sebenar hari yang diraikan.

“Kembara Ramadhan Al-Mubarak kita pada tahun ini sudah sampai ke penghujung dan sudah tentu mereka yang melaluinya dengan bersungguh berharap mendapat maghfirah, ‘inayah, rahmat serta redhaNya.

“Hari Raya Aidilfitri perlu disambut dengan gembira sebagai pernyataan rasa syukur kepada Allah yang menganugerahkan kesempatan untuk beribadah dan melaksanakan amalan mulia,” katanya dalam perutusan Syawal.

Beliau berkata, pemergian Ramadan perlu disusuli rasa keinsafan untuk terus beristiqamah melalui kehidupan lebih baik, pada masa akan datang.

AMIRUDIN SHARIKatanya, keinsafan dalam diri ketika melalui perjalanan Ramadan perlu dijadikan batu loncatan untuk terus menjadi insan yang lebih sempurna di muka bumi Allah.

“Salah satu makna Aidilfitri adalah kembali kepada fitrah yang mengingatkan kita kepada hakikat kemanusiaan dan kewujudan sementara di bumi.

“Segala sifat tamak haloba dan keserakahan terhadap dunia haruslah dibuang dan yang perlu disuburkan dalam nurani adalah sifat kasih sayang,” katanya.

Masyarakat Islam di negara ini akan meraikan Syawal, pada 25 Jun ini (esok).