Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor perkenan rasmi Masjid Bandar Rinching

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU LANGAT, 14 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Bandar Rinching, Semenyih sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya, di sini, hari ini.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM175,500 kepada 249 asnaf fakir dan miskin serta 102 mualaf, dengan masing-masing menerima RM500.

Mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi serta Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

IMG_20170614_191614-1024x731Sultan Selangor turut berkenan menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat Terawih sebelum berangkat pulang.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM10,000 kepada Masjid Bandar Rinching.

Pada 6 Mei 2005, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan kebenaran bagi membina masjid di atas lot berkeluasan 2.69 ekar itu.

Pada 20 Mac 2013, masjid yang dibina dengan kos RM3.1 juta itu siap dibina dan diserah untuk digunakan.

Ruang solat utama mampu memuatkan seramai 364 jemaah sementara ruang solat luar pula seramai 340, menjadikan 700 jemaah pada satu-satu masa.

Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk ruang solat berpenghawa dingin, dewan masjid, dewan terbuka berskala kecil, kedai runcit serta studio gambar.

=EZY=