Categories
NASIONAL

Terminal SkyPark jangka penumpang meningkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 JUN: Terminal SkyPark menjangkakan peningkatan dalam aliran trafik penumpang berdasarkan inisiatif diambil memperbaiki rangkaian, kos dan kemudahan lain.

Pengarah Eksekutif Subang SkyPark Sdn Bhd, Tan Sri Ravindran Menon berkata, ia termasuk meningkatkan ragnkaian keluar masuk lapangan terbang menerusi kereta api dan jalan raya.

Katanya, SkyPark KTM Rail Link yang dijadual siap menjelang akhir tahun ini adalah lanjutan kepada landasan KTM Subang Jaya, seterusnya menghubungkan Terminal SkyPark dengan KL Sentral.

“Terminal Skypark baru-baru ini sudah melepasi kiraan 15 juta penumpang, berbanding hanya 300,000 penumpang pada tahun pertama kami beroperasi iaitu pada 2008.

“Kami percaya usaha diambil mampu meningkatkan bilangan penumpang kerana ia lebih memudahkan dan menjimatkan kos bagi mereka bergerak lancar dari satu tempat ke tempat lain,” katanya dalam kenyataan.

Capture1Ravindran berkata, pihaknya turut merancang memperluaskan lapangan terbang berkenaan melalui cadangan pembangunan Terminal 2.

“Ia dijangka bermula pada penghujung tahun ini dan bakal membawa kepada tambahan lima juta penumpang,” katanya.

Pada Oktober 2009, Terminal SkyPark dengan seni bina baru dan moden mula dibuka secara rasmi untuk orang ramai.

Terletak di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Terminal SkyPark adalah base utama untuk syarikat penerbangan Malindo Air, Firely serta jet peribadi dan korporat.