Categories
NASIONAL

Pengambilan tanah MRT Ampang Park: Rayuan ditutup

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 JUN: Cabaran perundangan 39 pemilik strata dan penyewa pusat membeli belah Ampang Park terhadap pengambilan tanah bagi projek stesen Mass Rapid Transit (MRT) ditolak Mahkamah Persekutuan, semalam.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan mereka bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan bagi semakan kehakiman.

Berdasarkan keputusan sebulat suara, Raus memutuskan bahawa persoalan undang-undang dikemukakan peguam perayu, Datuk Zainur Zakaria bagi Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak memenuhi garis keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Malah jika kami membenarkan persoalan itu, tidak ada peluang persoalan yang dikemukakan itu diterima. Kami dengan ini menolak permohonan,” katanya dipetik Bernama.

Ampang-Park-Mall.-1Raus memerintahkan pemilik strata dan penyewa membayar kos RM20,000 kepada responden pertama dan responden kedua iaitu Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan serta membayar RM20,000 lagi sebagai kos kepada MRT Corporation.

Selain Raus, mahkamah turut disidangi dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Aziah Ali.

Pada 8 Januari 2016, 39 pemilik premis perniagaan dan penyewa Ampang Park berkenaan memfailkan tindakan undang-undang bagi membatalkan kelulusan merobohkan pusat membeli belah itu.

Perobohan itu dikatakan bagi memberi laluan kepada pembinaan laluan pejalan kaki bawah tanah menghubungkan stesen MRT ke stesen Transit Rel Ringan (LRT) Ampang Park.

Pada 30 Jun 2016, permohonan mereka ditolak Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa pengambilan tanah dilakukan dengan sempurna dan mengikut undang-undang, termasuk mematuhi Akta Pengambilan Tanah 1960.

Pada 18 Januari lalu, pemilik strata dan penyewa pusat membeli-belah itu sekali lagi gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan sebelum memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan undang-undang, mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran bagi memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.