Categories
KENYATAAN MEDIA

Tiada mekanisme jelas sistem pertukaran guru duka lara

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan telah meluluskan sebanyak 2,261 permohonan pertukaran ‘guru duka lara’ daripada 6,636 permohonan dalam kategori itu.

Guru duka lara adalah guru yabg berjauhan daripada pasangan masing-masing.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid. Katanya, kelulusan berkenaan adalah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan seramai 1,421 guru akan ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah di seluruh negara.

Skim pertukaran guru duka lara ini amat bagus bagi guru-guru yang sudah lama memohon untuk pertukaran. Namun kebelakangan ini timbul dakwaan segelintir guru yang baru ditempatkan di sesebuah sekolah tidak sampai tiga bulan mendapat keizinan bertukar, kononnya guru tersebut mempunyai ‘kabel’ di Kementerian Pelajaran.

Hal ini akan menyebabkan ketidakpuasan hati guru-guru lain yang tidak mempunyai ‘kabel’, sama ada orang-orang politik atau pun orang dalam. Persoalannya, adakah ini suatu strategi untuk memancing undi dalam kalangan guru-guru menjelang pilihan raya umum ke 14?

Merujuk sistem pengurusan guru (EGtukar), keperluan untuk pertukaran antara daerah atau negeri adalah berdasarkan kepentingan perkhidmatan dan kekosongan jawatan di daerah atau negeri yang dipohon.

Bersandarkan sistem tersebut, keputusan kelulusan permohonan guru dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu pilihan sahaja.

guruSekiranya kita melihat status pertukaran guru di laman sesawang Kementerian Pendidikan, jumlah permohonan sekitar 15, 420 orang. Bagi jumlah Permohonan Pertukaran Guru Sekolah Menengah adalah seramai 6,489 orang, manakala jumlah Permohonan Pertukaran Guru Sekolah Rendah pula seramai 8,931 orang.

Dengan jumlah itu, masih ramai guru yang menanti permohonan mereka diluluskan oleh pihak kementerian. Namun, dalam menyelesaiakan isu ‘guru duka lara’ ini, apakah inisiatif daripada pihak kerajaan sendiri?

Adakah kementerian berusaha memenuhi permohonan untuk guru berkhidmat di negeri masing-masing atau mengikut pasangan supaya berada dekat dengan keluarga tercinta.

Bagi saya, kementerian tidak mungkin dapat meluluskan kesemua pertukaran dalam jangka masa yang pendek kerana permohonan di beberapa negeri bagi setiap tahun akan melebihi kekosongan jawatan di negeri yang dipohon oleh guru-guru.

Oleh itu, dalam isu ini masih ramai pemohon yang tidak faham akan mekanisme digunapakai oleh kementerian. Tempoh berkhidmat, status, dan jarak, langsung tidak dapat menjamin mereka berjaya dalam pertukaran.

Saya berharap pihak kementerian akan menstrukturkan semula prosedur pertukaran agar mempunyai mekanisme yang lebih jelas, telus dan boleh lebih dipercayai.

*Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua AMK