Categories
PBT SELANGOR

17 sekolah terima tong kompos didik amalan hijau

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 12 JULAI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) terus mengorak langkah memperkasakan pendidikan dan pengetahuan berkenaan amalan hijau terbaik terhadap komuniti membabitkan pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

Pemangku Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, antara langkah diambil termasuk mengadakan program pendidikan kepada guru dan pelajar sekolah di kawasan pentadbirannya.

“Sebanyak 32 sekolah menawarkan diri untuk terlibat dalam Program Kompos Sisa Organik, namun 17 sekolah terawal dipilih terlibat dalam program pendidkan, pada hari ini.

“Sebagai sokongan MPSJ terhadap pelaksanaan program kompos ini, 17 sekolah terlibat akan dibekalkan tong kompos berputar secara percuma sumbangan syarikat Rotocraft Technology Sdn Bhd,” katanya ketika Majlis Penyampaian Tong Kompos dan Lawatan Hijau ke Pusat Biomas MPSJ 2017, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, guru dan pelajar juga diberikan taklimat dan demontrasi pengkomposan sisa organik menggunakan tong kompos berpusing sebelum projek itu dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Zulkurnain berkata, projek terbabit adalah pengkomposan sisa kebun dan makanan, vermikompos, biodiesel kitar semula minyak masak terpakai dan biogas ‘anaerobik digestion’.

“Proses pembelajaran dan amalan pengkomposan ini akan diteruskan dan dikembangkan kepada pelajar lain melalui aktiviti ko-kurikulum seperti Persatuan Alam Sekitar dan lain-lain,” katanya.