Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

ABIM tolak longgar syarat lulus bahasa Melayu SPM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menolak cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menjalani latihan siswazah selama dua tahun dengan kementerian itu.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, cadangan kelonggaran itu akan membuka ruang untuk segolongan dalam masyarakat membelakangkan bahasa Melayu dan peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, KKM perlu memahami bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai falsafah dan tujuan keutamaan tersendiri yang harus disanjungi dan dihormati untuk masyarakat dididik dan digerakkan berasaskan nilai yang termaktub di dalamnya.

muhammad_faisal_abd_aziz_abim“Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ‘maksud rasmi’ adalah apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa.

“Adalah menjadi tanggungjawab utama kerajaan melalui kementerian untuk sentiasa mengangkat, memartabat serta memelihara bahasa Melayu.

“Ia termasuk dengan melaksanakan syarat tertentu seperti syarat lulus bahasa Melayu mengikut ‘standard’ tertentu untuk penyerapan sebagai kakitangan di mana-mana jabatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan KKM untuk memberi kelonggaran kepada syarat kelayakan lulus bahasa Melayu peringkat SPM bagi menjalani latihan siswazah selama dua tahun dengan kementerian itu.

Faisal menegaskan, kelonggaran itu tidak berasas kerana tidak didokong dengan alasan munasabah selain bercanggah dengan semangat dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, ABIM menyarankan supaya pihak terbabit menyediakan mekanisme khusus yang memudahkan pengambilan peperiksaan subjek BM.

“Ia termasuk penyeragaman waktu peperiksaan, keizinan mengambil subjek BM sebagai subjek tunggal SPM (untuk calon bukan dari aliran peperiksaan SPM) termasuk dalam urusan kemudahan pembelajaran subjek itu bagi calon yang terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tidak seharusnya wujud sebarang keraguan terhadap kemampuan bahasa Melayu dalam membentuk nilai tambah kepada rakyat Malaysia untuk berdaya saing dalam sektor kritikal.