Categories
NASIONAL

Guru mangsa buli perlu lapor polis

SHAH ALAM, 3 JULAI: Guru yang menjadi mangsa buli pelajar perlu membuat laporan polis bagi menjamin keselamatan diri selain mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini menimpa mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, memang terdapat beberapa kes guru menjadi mangsa buli, namun tidak dilaporkan kerana bimbang dengan keselamatan diri apabila berada di luar kawasan sekolah.

“Ada guru yang enggan buat laporan kerana tidak mahu memanjangkan cerita selain turut bimbang dengan keselamatan diri mereka akan diancam pelajar yang terbabit dalam gangsterisme.

“Guru perlu buat laporan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pembuli dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama sekali tidak akan menghalang jika mereka ingin membuat laporan polis,” katanya dipetik BERNAMA selepas melawat Kolej Vokasional Alor Setar, hari ini.

guruBeliau berkata, guru yang menjadi mangsa buli tidak perlu bersembunyi atau bimbang dengan reputasi sekolah jika ingin membuat laporan polis kerana kementerian berpendirian tegas dalam menangani masalah itu selain mementingkan keselamatan mereka.

Semalam, Persatuan Penguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan kalangan guru turut menjadi mangsa buli pelajar bermasalah di sekolah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan budaya gangsterisme di negara ini.

Presiden CAP, SM Mohamad Idris berkata, kejadian buli terhadap guru boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk peras ugut dan kenderaan dirosakkan selepas mereka menegur pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin.

Pada masa sama, Mahdzir berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka yang terbabit dalam kegiatan gangsterisme atau buli ke pusat pemulihan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kita (KPM) tidak akan berkompromi dengan pelajar yang terbabit dalam aktiviti gangsterisme atau buli dan mereka boleh dikenakan tindakan tegas jika didapati bersalah,” katanya.