Categories
KENYATAAN MEDIA

AMK gesa skandal Scorpene dibuka semula

 

OLEH DR AFIF BAHARDIN

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum tindakan pendakwaan melibatkan rasuah oleh pihak berkuasa Perancis ke atas dua individu; Philippe Japiot, mantan pengerusi syarikat pembuatan kapal Perancis DCNI dan Jean-Paul Perrier, mantan pegawai eksekutif syarikat Thales, sebuah syarikat gergasi pertahanan dan elektronik Perancis. Mereka ini adalah individu yang didapati terlibat di dalam penjualan kapal selam Scorpene kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwaan di Perancis membabitkan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang terpalit dengan isu rasuah dan pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu ini membuktikan bahawa telah berlaku unsur jenayah di dalam usahasama ini.

dr-afifAngkatan Muda Keadilan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia untuk kembali membuka siasatan ke atas kes rasuah dan jenayah membabitkan pembelian kapal selam Scorpene ini oleh Kementerian Pertahanan Malaysia yang mana pada ketika itu Menteri yang bertanggungjawab adalah, Dato Sri Najib Abdul Razak.

Siasatan dan menghadapkan penjenayah sebenar kemuka pengadilan adalah perlu demi mendapatkan kebenaran dan memberikan keadilan kepada individu-individu; seperti Altantuya, dua anggota PDRM, Sirul Azhar dan Azilah Hadri yang turut terpalit dengan skandal ini.

Kegagalan SPRM dan PDRM untuk menyiasat dan melakukan tindakan undang-undang yang sewajarnya berkaitan skandal kapal selam Scorpene ini nanti akan mengakibatkan imej dan integriti agensi-agensi ini terus tercalar dan mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan.

*Dr Afif Bahardin adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan