Categories
GLOBAL

Arab Saudi, sekutu setuju lanjut 48 jam lagi untuk Qatar penuhi 13 tuntutan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Arab Saudi dan sekutunya bersetuju melanjutkan tempoh 48 jam lagi untuk Qatar memenuhi 13 tuntutan mereka seperti dicadangkan Kuwait.

Agensi berita Kuwait KUNA melaporkan, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber meminta Arab Saudi dan sekutunya itu memberikan tempoh lanjutan.

MalaysiaKini melaporkan, Kuwait dilantik sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut yang menyaksikan Qatar dipulaukan selepas didakwa mendukung keganasan serantau dan bekerjasama dengan Iran.

Sebelum ini, Arab Saudi memberikan tempoh 10 hari yang tamat semalam dan menegaskan tuntutan itu tidak boleh dirunding sama sekali.

QATARBagaimanapun, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan tuntutan dikemukakan patut ditolak.

Tuntutan itu termasuk penutupan rangkaian stesen TV Al Jazeera dan pangkalan tentera Turki di Qatar.

“Semua orang sedar tuntutan ini bermakna kedaulatan Qatar dicabuli, menutup ruang kebebasan dan mengenakan mekanisme yang mengekang Qatar.

“Kami percaya bahawa dunia tidak ditadbir oleh kata dua, kami percaya bahawa dunia ditadbir oleh undang-undang antarabangsa, ia ditadbir dengan peraturan yang tidak membenarkan negara besar membuli negara kecil,” katanya ketika berkunjung ke Rom, Itali.

Bagaimanapun, Arab Saudi menegaskan jika Qatar gagal memenuhi semua tuntutan itu dalam tempoh berkenaan, maka sekatan tambahan akan dikenakan di samping penutupan sempadan dan pembatalan hubungan diplomatik sedia ada.