Categories
SELANGOR SUKANKINI

Bengals RC harumkan nama Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kelab Ragbi Bengals (Bengals RC) terus mengharumkan nama Selangor dalam peta sukan ragbi apabila muncul juara kategori bawah 14 tahun, di Kejohanan Rugby 10 Sebelah SEMESTI 2017, baru-baru ini.

Presidennya, Abd Rahim Wasik berkata, kejayaan dilakar menerusi pasukan utama, Bengals RC A yang berjaya menewaskan pasukan pilihan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak.

Katanya, pasukan kedua, Bengals RC B pula berjaya menduduki tempat ketiga bagi kategori Plate.

“Walaupun hanya menjalani latihan sekali dalam tempoh seminggu, kami bersyukur kerana pemain dapat mengikuti latihan diterapkan jurulatih.

Pemain Bengals A Bersama Pingat dan Piala Kejuaraan“Hasilnya, pemain menunjukkan prestasi permainan membanggakan dan beroleh keputusan cemerlang,” katanya kepada SelangorKini.

Berlangsung di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, kejohanan berkenaan disertai pelbagai pasukan dari sekolah ternama Perak dan Selangor.

Abd Rahim berkata, Bengals RC sentiasa aktif menyertai pelbagai kejohanan di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk yang dianjurkan di luar negara sejak didaftarkan, pada 2015.

Katanya, ramai pemain pasukan itu turut menjadi pilihan sekolah ternama seperti MRSM, Victoria Institution dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George hasil pencapaian akademik cemerlang serta pembabitan dalam sukan ragbi.

“Kami sentiasa mengalu-alukan jika ada berminat menyertai Bengal RC dalam usaha melahirkan remaja cergas, cerdas serta berdisiplin menerusi sukan ragbi.

“Kebanyakan pemain dibentuk sejak usia lapan tahun dan keakraban serta silaturahim kuat di antara pemain, ibu bapa dan jurulatih serta pentadbir menjadi kelebihan Bengals RC.

“Kami akan sentiasa berusaha mengharumkan nama Bandar Klang serta Selangor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi sukan ragbi,” katanya.