Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan ragbi kebangsaan dijenama semula sebagai ‘Bunga Raya’

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bersetuju untuk melakukan penjenamaan semula nama pasukan ragbi kebangsaan sebagai pasukan “Bunga Raya”.

Setiausaha Agong Ragbi Malaysia Amrul Hazarin Hamidon ketika dihubungi Bernama berkata penjenamaan semula ini yang diputuskan dalam mesyuarat EXCO adalah untuk menyelaraskan penggunaan nama pasukan ragbi seperti mana dilakukan oleh World Rugby.

“Kita nak selaras dengan penjenamaan yang dibuat oleh World Rugby. Tiada lagi penggunaan wanita atau lelaki jadi ia akan hanya dikenali dengan satu nama.

“Bila kita selaraskan semua nama pasukan dengan satu nama maka penjenamaan pun sudah tetap. Ini adalah pelan strategi kami (KRM) dalam memudahkan pencarian dana untuk mendapatkan penajaan dalam menghadapi perlawanan yang akan datang.” katanya kepada Bernama semalam.

KRM kini mempunyai tiga pasukan ragbi yang diberi gelaran pasukan ragbi kebangsaan 15 sebelah dikenali sebagai “Bunga Raya”, pasukan ragbi lelaki tujuh sebelah sebagai “Rimau Sevens”, pasukan ragbi wanita tujuh sebelah sebagai “Panthera Ladies” dan kesemuanya akan diselaraskan dengan nama “Bunga Raya”.

Dalam pada itu, Amrul turut berkata KRM dalam proses menghasilkan identiti korporat sendiri selepas sambutan Aidilfitri ini di mana penggunaan logo KRM akan diguna pakai mengikut standard yang ditetapkan.

Sementara itu, Amrul memaklumkan Pasukan Bunga Raya 7 sebelah sedang mengadakan latihan dalam menghadapi persediaan perlawanan Asia Rugby Sevens Series Siri 1 yang bakal diadakan di Incheon, Korea Selatan, Ogos depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiada kejohanan ragbi tempatan sehingga akhir tahun – KRM

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengambil keputusan untuk tidak menganjurkan sebarang kejohanan di peringkat domestik sehingga akhir tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, KRM memaklumkan sebarang kejohanan yang mendapat kelulusan KRM sebelum ini dibatalkan.

Keputusan tersebut dibuat berpandukan maklum balas ahli gabungan KRM berhubung kesiapsiagaan untuk menyertai kejohanan seperti saingan Piala Agong, Kejohanan 7 Sepasukan Kebangsaan dan Liga Ragbi Malaysia (LRM) pada Mesyuarat Exco KRM, Isnin lepas.

“KRM juga setelah mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa kejohanan yang berbentuk karnival seperti Kejohanan 7 dan 10 Sepasukan adalah tidak dibenarkan buat masa ini sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan itu.

Namun, KRM menjelaskan ahli gabungannya dibenarkan untuk menganjurkan Liga Negeri 15 sepasukan (15’s) dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), KBS dan KRM.

“KRM juga membenarkan kursus-kursus dijalankan dengan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN, KBS dan KRM,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KRM menyatakan mereka ketika ini menunggu pengumuman rasmi daripada Asia Rugby berhubung status kejohanan antarabangsa di bawah kendalian badan induk ragbi Asia itu.

Dalam pada itu, manual SOP sukan ragbi akan disediakan kepada semua ahli gabungan dan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

KRM, MSN sasar pingat sulung ragbi di Sukan Asia 2026

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mempunyai misi melakar sejarah baharu apabila menyasarkan untuk membawa pulang kilauan pingat pada temasya Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Malaysia belum pernah meraih sebarang pingat di pentas Sukan Asia, namun ia tidak lagi mustahil selepas KRM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi tujuh sepasukan (7’s) lelaki dan wanita negara.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata perkembangan terbaharu itu bertujuan mewujudkan satu mekanisme latihan bersepadu untuk membantu memastikan kejayaan kedua-dua skuad 7’s negara meraih kilauan pingat yang dinanti-nantikan.

“Kita nak menang pingat Sukan Asia 2026. Kita perlu ada satu program yang sangat teliti, sangat bersepadu dan sangat menyeluruh untuk cuba memenangi pingat di Jepun yang kita tahu bukan mudah. Tetapi kita ingin mencuba, sampai bila kita hanya mahu bercakap pasal Sukan SEA.

“Program ataupun projek khas ini sepatutnya bermula antara Mac hingga Mei, namun disebabkan pandemik Covid-19 ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu,” katanya kepada Bernama, semalam.

Shahrul Zaman berkata pelaksanaan program berkenaan akan menyaksikan tumpuan diberikan lebih kepada barisan pemain ragbi berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun untuk diserapkan ke dalam program.

Namun, beliau menegaskan KRM tetap mengekalkan pemain senior sedia ada untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa sementara pemain daripada program bersama MSN itu akan diserap ke dalam skuad kebangsaan secara berperingkat.

“Kita fikirkan pemain lingkungan 22 tahun sebab lagi enam tahun mereka berusia 28. Program ini tidak bermaksud mereka sahaja akan mewakili negara selepas ini, tidak. Kita masih menaruh kepercayaan terhadap barisan pemain sedia ada tetapi kita harus mempunyai perancangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad ragbi B-18 bakal terima ganjaran program pembangunan

SEPANG, 20 OGOS: Skuad ragbi Bawah-18 tahun kebangsaan akan menerima ganjaran berbentuk program pembangunan selepas berjaya mempertahankan gelaran juara Kejohanan Ragbi tujuh-sebelah (7s) Asia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ganjaran itu untuk memastikan bakat dalam pembangunan sukan itu terus berkembang.

“Pertama sekali tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pengurusan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) atas kejayaan ini. Prestasi ini perlu diteruskan supaya pemain menjadi ‘feeder group’ untuk skuad kebangsaan.

“Satu isyarat yang amat baik bahawa kita ada pelapis yang baik. Ganjaran lebih kepada suntikan dana ke program latihan dan menyertai kejohanan lain, saya akan bincangkan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan pasukan itu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di sini, malam tadi.

Skuad negara beraksi cemerlang untuk mengekalkan rekod 100 peratus menang di Kunming, China pada liga sepusingan, sebelum mengesahkan kejuaraan dengan menewaskan tuan rumah 14-10, semalam.

Malaysia adalah juara bertahan kejohanan itu, selepas muncul juara edisi lalu di Stadium EduCity di Nusajaya tanpa mencatatkan sebarang kekalahan pada Disember lalu.

Sementara itu, Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata banyak perancangan sudah dibuat untuk pasukan berkenaan di bawah Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP).

“Apabila kita menang pada tahun lalu, ada pihak berkata kita menang nasib, tetapi apabila menang dua kali, ia membuktikan bahawa kita ada pembangunan dan ‘pathaway’ yang baik.

“Kita akan meneruskan pembangunan ini di bawah NRDP, di mana pemain ini akan diserapkan ke dalam skuad B-20 dan kebangsaan secara berperingkat. Kita juga bakal mendapat suntikan penajaan daripada Yayasan Sime Darby dalam masa terdekat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

MPKlang Royal Town Warriors ungguli ragbi di Jakarta

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 3 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menempa sejarah tersendiri apabila pasukan ragbinya, MPKlang Royal Town Warriors menjuarai kejohanan Ragbi Komodos 10s di Jakarta, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohd Yasid Bidin berkata, pasukan itu yang mewakili Kelab Ragbi Malaysia berjaya menewaskan kelab dari Indonesia, Bali Chilis 14-5.

“Kejohanan ini juga disertai beberapa kelab ragbi dari negara Asia.

“Malah, kita berasa bangga di atas pencapaian sehingga ke peringkat antarabangsa ini dan akan berusaha untuk menyertai lebih banyak acara sebegini pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, program itu mendapat kelulusan dari Kerajaan Negeri bagi melayakkan MPKlang Royal Town Warriors mewakili Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa.

 

Categories
SUKANKINI

10 Alumni Ragbi berentap di ‘CGC Merdeka Midnight Rugby Meet’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SERDANG, 31 OGOS: Sebanyak 10 pasukan kelab terdiri daripada alumni ragbi berprestij di Malaysia berentap dalam ‘CGC Merdeka Midnight Rugby Meet’, anjuran Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, di Padang Kolej 14 Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, malam tadi.

Saingan edisi julung kali itu menyaksikan kehadiran Kelab ALSPEN Stingers RC (Alumni SMS Tun Syed Shahabudin, Pulai Pinang), Edwardian Legends (Alumni SM King Edward VII, Perak), KKB Vets (Alumni SM Kuala Kubu Baru), MCOBA Vets (Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar).

Turut sama juga adalah OPA (Alumni Royal Military College, KL), SAJOHA Vets (Alumni Sekolah Sains Johor), SDAR Vets (Alumni Sekolah Datuk Abdul Razak, Negeri Sembilan), SMSSOB (Alumni SM Sains Selangor), STJ How (Alumni SM Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan) dan VI Legends (Alumni Victoria Institution, Kuala Lumpur).

Ketua Pegawai Korporat CGC, Rahim Raduan berkata, kejohanan itu mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kelab Ragbi Home of Warriors sempena meraikan ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Katanya, ia juga sebahagian daripada Karnival Merdeka KKKM selain menggalas peranan pihaknya dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berasaskan kesukanan.

“Untuk kali pertama, keseronokan itu sedikit berbeza, bagaimanapun kami berbangga dan berbesar hati untuk menaja kejohanan ragbi ini yang bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61, kerana sukan mampu mengeratkan ikatan silaturahim sesama kita, membina semangat berpasukan dan menggalakkan kehidupan sihat.

“Selain itu, terdapat persamaan dalam nilai-nilai teras yang diamalkan di CGC dan sukan dengan menggalakkan semangat berpasukan, komitmen, membina integriti serta menyerlahkan bakat.

“Kesemua unsur-unsur ini mewakili nilai pegangan CGC terutama untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Sementara itu, Riduan berkata, dalam usaha memacu pembangunan sukan ragbi di Malaysia, pihaknya beriltizam untuk memperhebatkan lagi pelaksanaan program sedemikian pada masa hadapan.

“Melihat kepada sambutan menggalakkan menerusi program ini, kami akan terus mencari peluang untuk turut serta dalam penganjuran program sama selepas ini, namun berusaha menerokai sukan lain yang lebih besar dan menarik.

“Ini kerana, ia memberi peluang kepada kami bagi meningkatkan program membabitkan tanggungjawab sosial korporat, sekali gus mengangkat sukan tempatan yang terdapat di negara ini ke peringkat lebih tinggi.

“Alumni terlibat juga berperanan membantu merancakkan sukan ini melalui sumber sokongan dari aspek bantuan kewangan, masa dan tenaga serta sesi latihan secara percuma kepada pelajar di sekolah lama mereka, dengan hasrat melahirkan ramai pelapis sukan ragbi tempatan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, kejohanan itu menyaksikan lima kategori dipertandingkan iaitu ‘Shield’, ‘Bowl’, ‘Cup Champion’ dan ‘Plate Champion’ dengan menyaksikan Juara serta Naib Juara masing-masing membawa pulang piala iringan.

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Bengals RC harumkan nama Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kelab Ragbi Bengals (Bengals RC) terus mengharumkan nama Selangor dalam peta sukan ragbi apabila muncul juara kategori bawah 14 tahun, di Kejohanan Rugby 10 Sebelah SEMESTI 2017, baru-baru ini.

Presidennya, Abd Rahim Wasik berkata, kejayaan dilakar menerusi pasukan utama, Bengals RC A yang berjaya menewaskan pasukan pilihan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak.

Katanya, pasukan kedua, Bengals RC B pula berjaya menduduki tempat ketiga bagi kategori Plate.

“Walaupun hanya menjalani latihan sekali dalam tempoh seminggu, kami bersyukur kerana pemain dapat mengikuti latihan diterapkan jurulatih.

Pemain Bengals A Bersama Pingat dan Piala Kejuaraan“Hasilnya, pemain menunjukkan prestasi permainan membanggakan dan beroleh keputusan cemerlang,” katanya kepada SelangorKini.

Berlangsung di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, kejohanan berkenaan disertai pelbagai pasukan dari sekolah ternama Perak dan Selangor.

Abd Rahim berkata, Bengals RC sentiasa aktif menyertai pelbagai kejohanan di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk yang dianjurkan di luar negara sejak didaftarkan, pada 2015.

Katanya, ramai pemain pasukan itu turut menjadi pilihan sekolah ternama seperti MRSM, Victoria Institution dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George hasil pencapaian akademik cemerlang serta pembabitan dalam sukan ragbi.

“Kami sentiasa mengalu-alukan jika ada berminat menyertai Bengal RC dalam usaha melahirkan remaja cergas, cerdas serta berdisiplin menerusi sukan ragbi.

“Kebanyakan pemain dibentuk sejak usia lapan tahun dan keakraban serta silaturahim kuat di antara pemain, ibu bapa dan jurulatih serta pentadbir menjadi kelebihan Bengals RC.

“Kami akan sentiasa berusaha mengharumkan nama Bandar Klang serta Selangor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi sukan ragbi,” katanya.