Categories
NASIONAL

Bentang kertas putih siasatan 1MDB di Parlimen

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Pakatan Harapan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas putih menjelaskan isu campur tangan asing dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan itu ekoran Dewan Rakyat hari ini menolak beberapa soalan berhubung saman pemula difailkan Jabatan Keadilan (DOJ).

Katanya, pengguguran itu nyata mengecewakan dan mendakwa ia satu percubaan menggelapkan maklumat serta keterangan berkenaan siasatan 1MDB.

“Pada 7 Julai lalu, saya mengangkat pertanyaan jawab lisan dan bertulis Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas yang bermula pada hari ini sehingga 10 Ogos depan.

“Dari buku aturan mesyuarat disediakan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, saya mendapati beberapa soalan (saya) digugurkan dan secara khususnya (soalan) yang dijadualkan pada hari ini,” katanya.

Antara soalan dikemukakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu termasuk minta perdana menteri menyatakan adakah kerajaan bersedia membentangkan kertas putih bagi menjelaskan campur tangan asing dalam isu 1MDB.

Wan AzizahWan Azizah berkata, kerajaan perlu memberi jawapan terperinci dan telus berkenaan 1MDB dengan salah satu langkah yang perlu diambil Najib adalah membentangkannya di Parlimen.

“Dengan majoriti yang ada pada Barisan Nasional (BN), Parlimen dinafikan daripada mendapat jawapan rasmi kerajaan dan terkini, pemikiran rakyat dikelirukan dengan tuduhan kononnya wujud campur tangan asing terhadap penyiasatan 1MDB.

“Tuduhan ini serius, apatah lagi ia bertujuan menutup dan melindungi skandal membabitkan perdana menteri, isteri, anak tiri dan kroninya dengan berbilion ringgit digelapkan serta diselewengkan dari 1MDB,” katanya.

DOJ sebelum ini memfailkan saman pemula, pada 20 Julai 2016 disusuli tindakan memfailkan keterangan tambahan berkenaan penyelewengan dana 1MDB, pada 15 Jun lalu.

Selain itu, siasatan dan pendakwaan juga diadakan di Singapura dan Switzerland.