Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor santuni penghuni Rumah Puteri Arafiah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 JULAI: DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Rumah Puteri Arafiah (RPA), di sini, hari ini.

Baginda diiringi Penaung Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Paduka Tengku Puteri Arafiah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Pengerusi Pekawanis, Datin Seri Shamshida Taharin.

“Baginda Tengku Permaisuri Selangor seperti kebiasaannya begitu mesra dan penuh kasih sayang bertemu dengan setiap pelatih di sini.

“Saya merasakan kemesraan dan keikhlasan baginda mampu memberi semangat kepada setiap anak di sini untuk bangkit dan melakukan yang terbaik dalam hidup mereka,” kata Shamshida kepada SelangorKini.

Majlis turut menyaksikan perkenan baginda menerima sumbangan bagi pihak RPA daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM20,000 disampaikan Ketua Pegawai Operasinya, Soffan Affendi Aminudin.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelatih RPA sebelum mencemar duli melawat sekitar rumah berkenaan.

“Baginda menyatakan rasa teruja dan gembira dengan apa yang disediakan di sini untuk pelatih dan yakin RPA mampu melahirkan sahsiah remaja yang baik.

“Sesungguhnya kami menjunjung tinggi kasih baginda dan sentiasa menanti kunjungan baginda pada masa akan datang,” kata Shamshida.

Baginda kemudiannya menikmati jamuan makan tengah hari dan sempat memenuhi permintaan tetamu untuk bergambar bersama sebelum berangkat pulang.

IMG_20170724_132819 IMG_20170724_132844 IMG_20170724_133124 IMG_20170724_133142 IMG_20170724_132752 IMG_20170724_132721 IMG_20170724_132705 IMG_20170724_132652 IMG_20170724_132620 IMG_20170724_132608