Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia terus rugi pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan kerugian pada tengah hari ekoran tekanan jualan di kaunter wajaran tinggi utama.

Indeks penanda aras ditutup 8.97 mata kepada 1,761.56, selepas bergerak antara 1,761.20 dan 1,768.61.

Ia dibuka 2.46 mata lebih rendah pada 1,768.07 berbanding 1,770.53 pada penutup semalam.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 540 berbanding 160, manakala 337 kaunter tidak berubah, 754 tidak diniagakan dan 31 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 606.82 juta saham bernilai RM536.27 juta.

Peniaga berkata, aliran harga menurun di bursa tempatan itu selari dengan prestasi lemah bursa serantau, menjejaki kedudukan lemah di Wall Street apabila pulangan Perbendaharaan AS meningkat semalam selepas data ekonomi lemah.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 0.47 peratus kepada 19,899.69, Hang Seng Hong Kong turun 0.36 peratus kepada 25,373.80, Straits Times Singapura merosot 0.21 peratus kepada 3,219.59 dan Kospi Korea Selatan turun 0.23 peratus kepada 2,382.29.

Seorang peniaga berkata pelabur memilih untuk tidak memasuki pasaran dalam kedudukan dagangan yang berhati-hati sementara menunggu lebih banyak petunjuk baharu mengenai pemulihan ekonomi dunia.

Saham wajaran tinggi utama, Maybank, TNB dan Public Bank, masing-masing susut dua sen kepada RM9.63, RM14.12 dan RM20.30.

bursa-sahamCIMB turun empat sen kepada RM6.56 manakala Petronas Chemiclas turun enam sen kepada RM7.09, manakala Sime Darby meningkat satu sen kepada RM9.54.

Mengenai saham aktif, Hubline dan AT masing-masing kekal pada enam sen dan 4.5 sen, Dagang Nexchange meningkat 1.5 sen kepada 60 sen, AHB menokok tiga sen kepada 35.5 sen, dan MRCB susut satu sen kepada RM1.48.

Indeks FBM Emas turun 70.12 mata kepada 12,561.63, Indeks FBM Emas Shariah turun 78.55 mata kepada 12,773.78 manakala Indeks FBMT100 susut 69.15 mata kepada 12,198.00.

FBM 70 susut 111.09 mata kepada 14,944.83 dan FBM Ace turun 65.16 mata kepada 6,480.81.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan mencatatkan 47.83 mata lebih rendah pada 16,793.80, Indeks Perusahaan turun 12.65 mata kepada 3,248.04 manakala Indeks Perladangan susut 93.97 mata kepada 7,872.78.

Sumber: BERNAMA