Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Catat pelaburan RM136 bilion sepanjang 16 tahun

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 4,713 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan RM136 bilion, bagi tempoh 2000 hingga 2016.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, sejumlah RM70.3 bilion daripada jumlah itu merupakan pelaburan tempatan sementara baki RM65.7 bilion merupakan pelaburan asing.

“Antara faktor pelaburan tinggi diterima di Selangor adalah kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap dasar pentadbiran negeri.

“Selangor turut menawarkan kawasan industri strategik dan kondusif selain kos pelaburan dan awalan perniagaan kompetitif.

“Pelaksanaan projek baru berintensifkan modal dengan teknologi baru serta eko sistem pelaburan baik turut menarik minat pelabur,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berhubung data pelaburan lengkap Selangor.

Amirudin berkata, ia menjadikan Selangor berada pada tangga kedua selepas Johor yang memperoleh pelaburan tertinggi iaitu RM166 bilion dalam tempoh sama.

Ia diikuti Sarawak dengan pelaburan bernilai RM101 bilion, Pulau Pinang (RM88.6 bilion) dan Kedah (RM58 bilion).

=EZY=