Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Fakhrusy harap aksi seimbang di MAEPS

SHAH ALAM 12 JULAI: Fakhrusy Syakirin Rostam berharap perubahan teknikal dalam saingan CP150 menjadikan perlumbaan lebih seimbang diantara jentera Honda dan Yamaha pada saingan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di MAEPS, Serdang, 15 dan 16 Julai ini.

Pelumba SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing itu akui setakat empat pusingan lepas, jentera Honda mereka gagal memberikan saingan kepada jentera Yamaha yang sentiasa mendominasi pentas podium dalam perlumbaan akhir.

Mohd Zaqhwan Zaidi muncul pelumba tunggal meraih podium buat pasukan menggunakan jentera Honda dengan menduduki tempat ketiga pada pusingan pembukaan di Temerloh manakala pencapaian terbaik Fakhrusy di tempat kelima pada pusingan lepas di Teluk Intan.

“Kami masih bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik. Memang diakui ketika ini jentera kami agak ketinggalan berbanding jentera lain.

“Apa kami lakukan ketika ini bagi menutup kelemahan ini dengan meningkatkan keupayaan fizikal dan teknik berlumba untuk memberikan lebih cabaran,” kata Fakhrusy.

SHZ_3622Katanya perubahan teknikal diputuskan baharu ini juga belum teruji sama ada mampu untuk mengurangkan jurang perbezaan jentera, namun berharap ia dapat menjadikan perlumbaan musim ini lebih seimbang.

Selepas empat pusingan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) sedang mendahului kedudukan dengan 51 mata diikuti Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) kedua dengan 50 mata. Fakhrusy di tangga ke-10 dengan 19 mata.

=EZY=