Categories
NASIONAL

ESSCom sedia kerjasama dengan Nadma hadapi bencana

LAHAD DATU, 6 JULAI: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bersedia memberi kerjasama penuh kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam memastikan aspek pengurusan bencana alam di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) terlaksana tanpa masalah.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara terbabit termasuk kesediaan menggerakkan keanggotaan serta aset ESSCom yang diperlukan sepanjang tempoh kerjasama itu seperti ketika aktiviti dan latihan amali dijalankan Nadma.

“Kita menyokong inisiatif Nadma mengadakan latih amali bersama semua jabatan kerajaan di ESSZone kerana inisiatif itu dapat menilai tahap kesiapsiagaan setiap jabatan terutama dalam aspek menguruskan bencana dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan kepada BERNAMA.

Terdahulu, Hazani menerima kunjungan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abdul Rashid Harun bagi mengukuhkan hubungan baik antara pengurusan tertinggi Nadma dan ESSCom serta membincangkan latihan amali bersama yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Hazani berkata, latihan amali itu antara lain sebagai pendedahan serta persediaan awal semua pihak mengetahui kaedah berhadapan bencana alam jika berlaku pada bila-bila masa.

“Latihan amali dapat menyelaras peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan semua pihak bagi memastikan jawatankuasa bencana daerah diketuai pegawai daerah dapat merangka pelan tindakan bersifat komprehensif dan boleh digunakan pakai semua pihak dalam menghadapi bencana alam di ESSZone,” katanya.