Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gagal laksana fungsi Parlimen, Azalina menteri JPM paling teruk

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman disifatkan sebagai menteri kabinet paling teruk di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan kini.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, Menteri Umno itu gagal memainkan fungsi Parlimen secara berkesan.

Katanya, ia susulan tindakan Azalina seakan sengaja menolak sebarang pertanyaan Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen berkaitan pertanyaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Azalina adalah menteri paling teruk berbanding menteri JPM sebelum beliau iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim. Di bawah Azalina, semua persoalan terhadap perdana menteri langsung tidak akan dijawab di Parlimen.

ANTONY LOKE“Kalau tidak mahu menjawab persoalan, lebih baik letak jawatan,” katanya pada sidang media di Parlimen, pagi ini.

Terdahulu, Anthony dalam pertanyaan lisannya di Dewan Rakyat memohon penjelasan Azalina selaku menteri bertangungjawab menjelaskan peruntukan dikeluarkan kementerian bagi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, pada 25 Jun lalu.

Bagaimanapun, Azalina dalam jawapan bertulisnya tidak menyatakan jumlah sebenar perbelanjaan penganjuran majlis keraian itu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pengerang itu hanya menjelaskan peruntukan dikeluarkan dengan mengguna pakai kelayakan keraian di bawah Akta Parlimen Saraan (1980).

Menteri itu turut mendedahkan, kononnya keseluruhan perbelanjaan diluluskan di bawah Kenterian Kewangan serta dikendalikan secara ‘sederhana’ mengikut Perkeliling Perbendaharaan Malaysia PB 3.1.

Anthony berkata, ia bukan pertama kali pertanyaan Ahli Parlimen tidak dijawab secara menyeluruh apabila pertanyaan kedua berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga gagal dijawab.

“Ini ‘trend’ yang sangat teruk di Parlimen dan semakin buruk berbanding menteri terdahulu. Jelas, apa yang berlaku kini semakin menghakis peranan Parlimen di bawah Najib dan menteri ini,” katanya.