Categories
SELANGOR

Kerja baik pulih saluran IWK dijangka siap 24 jam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 4 JULAI: Kerja membaik pulih kebocoran saluran paip kumbahan bawah tanah milik Indah Water Konsortium (IWK) dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Hamidi A. Hasan berkata, beliau yakin kerja baik pulih dapat diselesaikan dalam masa ditetapkan.

“Kalau mengikut maklumat pegawai IWK yang bertanggungjawab, kerja ini dapat diselesaikan dalam masa ditetapkan.

“Seperti yang kita nampak puncanya sudahpun dijumpai dan kerjanya juga agak tidak merumitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini di tapak kerja kerja baik pulih saluran paip IWK di Bandar Sunway Semenyih di sini, semalam.

Katanya, kerja terlibat dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan ekoran tindakan pantas IWK.

CP2A9217-1280x853“Saya teruja dan berterima kasih apabila agensi terbabit seperti IWK, Syarikat Air Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) turun memastikan keadaan berjalan baik,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Selangorkini mendapati kerja baik pulih saluran milik IWK sedang giat dijalankan.

Antara kerja terlibat adalah mengenal pasti lokasi kebocoran, mengganti paip bertekanan tinggi dan mengambil sampel air kolam takungan banjir Bandar Sunway, Semenyih.