Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada pencemaran Sungai Semenyih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 4 JULAI: Sikap pihak yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan berita tidak tepat berhubung kejadian kebocoran saluran kumbahan bawah tanah milik Indah Water Konsortium (IWK) dianggap tidak bertanggungjawab.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Hamidi A. Hasan berkata, hal itu ekoran tiada pencemaran berlaku di Sungai Semenyih seperti digambarkan pihak terbabit.

“Kita mahu ingatkan apa yang dihebahkan kononnya limpahan daripada pecahan membabitkan pencemaran Sungai Semenyih tidak wajar kerana limpahan saluran ini masuk ke kolam takungan banjir yang belum penuh, jadi tidak melimpah ke sungai.

“Ini bermakna tidak timbul isu pencemaran Sungai Semenyih dan saya harap jangan ada pihak mengambil kesempatan konon adanya pencemaran,” katanya ketika membuat tinjauan ke tapak kerja membaik pulih saluran kumbahan bawah tanah milik IWK, di sini, semalam.

Katanya, pengesahan daripada agensi terlibat turut dibuat berkenaan perkara itu.

Pada masa sama, Hamidi turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan laporan daripada agensi bertanggungjawab bagi memastikan kesahihan berita yang dilaporkan.

“Kalau ada kebocoran, laporkan terus ke agensi terbabit seperti IWK dan pasti mereka ambil tindakan secepat mungkin untuk kebaikan semua,” katanya.

CP2A9217-1280x853 CP2A9223-1280x853