Categories
NASIONAL

Khir Toyo, isteri tarik balik permohonan perintah lucut hak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JULAI: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan isterinya, hari ini menarik balik permohonan mendapatkan penjelasan berhubung perintah mahkamah melucutkan hak ke atas dua lot tanah dan banglo.

Merujuk Bernama, peguam mewakili pasangan itu, M Athimulan memaklumkan panel hakim bahawa anak guamnya menarik balik tindakan mereka selepas mengkaji afidavit difailkan kerajaan dan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

“Arahan anak guam kami ialah menarik balik permohonan semakan selepas mengkaji afidavit pihak berkaitan dan keputusan mahkamah,” katanya kepada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif kemudiannya membatalkan permohonan pasangan berkenaan yang dibuat tahun lalu.

Panel hakim lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud manakala pemohon tidak hadir ke mahkamah.

khir toyo dipenjara 12 bulanSebelum ini, Dr Mohamad Khir, 51, dan Zahrah Kechik, 51, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan penjelasan berhubung perintah Mahkamah Tinggi melucutkan hak ke atas hartanah ala bali itu.

Pada 29 September 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara ke atas bekas Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang itu yang didapati bersalah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan banglo di Shah Alam.

Beliau kemudiannya menjalani hukuman penjara, tetapi dilepaskan enam bulan lebih awal dari penjara kerana berkelakuan baik.

Mohamad Khir didapati bersalah kerana mendapatkan dirinya dan isteri dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7 daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Beliau yang bergelar Menteri Besar mulai Ogos 2000 hingga Februari 2008, disabitkan melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan dua lot tanah dan banglo itu dilucutkan hak.